Gerakan Pulau Pinang hari ini mendesak kerajaan negeri pimpinan DAP menjelaskan sebab sebenar firma China, Beijing Urban Construction Group (BUCG) digugurkan daripada projek pembinaan terowong dasar laut dan tiga jalan utama di negeri ini.

Pemangku ketua pemudanya Jason Loo berkata pada 2013, Ketua Menteri Lim Guan Eng begitu menyanjungi BUCG yang membina Stadium Olimpik 2008 dan kekukuhan firma itu antara faktor menyebabkan projek mega itu diberikan kepada CZBUCG (Consortium Zenith BUCG).

Beliau berkata kerajaan negeri perlu memberikan jawapan sebenar di sebalik hubungan kerja di dalam konsortium berkenaan.

"Memandangkan BUCG dikeluarkan sekarang, siapa yang akan mengambil alih portfolionya di dalam projek mega bernilai RM6.3 bilion," katanya kepada pemberita, hari ini.

Semalam, Lim berkata keputusan itu diambil berikutan permohonan daripada CZBUCG Sdn Bhd ekoran kejadian kren jatuh yang menghempap Chim Khoo Sing, 24, dari Pulau Pinang, di Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur, bulan lepas.

Lim berkata keputusan menggugurkan BUCG daripada projek itu tidak melanggar perjanjian kontrak yang ditandatangani dan tidak akan ada pampasan yang akan dibayar kepada BUCG.

Consortium Zenith dianugerah projek itu menerusi proses tender.

Sementara itu, Loo juga bertanya kepada kerajaan negeri berhubung status terkini laporan keboleh laksanaan terowong dasar laut yang sehingga kini laporan itu tidak dapat dikeluarkan.

"Cara kerajaan negeri membuat laporan keboleh laksanaan itu seperti membuat roti canai apabila mereka membalik-balikkannya," katanya.

- Bernama