Setinggan Sg Udang: Exco Pemuda Umno ketuai rundingan dengan DBKL
Setiausaha Politik Menteri Kewangan 1, Reezal Merican Naina Merican akan mengetuai penduduk setinggan Kampung Sungai Udang, Segambut dalam rundingan dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi menangguhkan pemindahan mereka dari kawasan tersebut.
Setiausaha Politik Menteri Kewangan 1, Reezal Merican Naina Merican akan mengetuai penduduk setinggan Kampung Sungai Udang, Segambut dalam rundingan dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi menangguhkan pemindahan mereka dari kawasan tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Penduduk Kampung Sungai Udang, Mohamad Yaacob berkata, Reezal (
gambar
) yang juga Exo Pemuda Umno dan Pengerusi Biro Ekonomi pergerakan itu, menyatakan persetujuan tersebut selepas wakil penduduk kampung mengadakan perbincangan di Putrajaya hari ini.
Sebelum itu, Mohamad yang mewakili penduduk setinggan Kampung Sungai Udang menyerahkan memorandum kepada wakil Perdana Menteri, Hizairi Zainal Abidin bagi meminta Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi membantu meminta DBKL menangguhkan memindahkan penduduk terbabit ke tempat lain.
"Reezal memberitahu beliau amat prihatin dengan kesusahan yang bakal dihadapi penduduk setinggan Kampung Sungai Udang jika mereka terpaksa berpindah ke tempat lain. Beliau akan melaporkan hasil rundingan tersebut kepada Perdana Menteri.
"Beliau berjanji untuk sama-sama penduduk setinggan Kampung Sungai Udang bagi mendapatkan keadilan dalam isu tersebut," katanya ketika ditemui di Putrajaya hari ini.
Sementara itu dalam memorandum yang dihantar kepada Perdana Menteri, penduduk meminta Abdullah membantu menyelesaikan masalah perumahan yang mereka hadapi.
Kata Mohamad, DBKL akan mengusir mereka pada 23 atau 25 April ini berdasarkan amaran yang dibuat oleh pegawai DBKL baru-baru ini.
DBKL menawarkan rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Jinjang dengan sewa bulanan sebanyak RM124 sekeluarga kepada penduduk setinggan Kampung Sungai Udang tetapi mereka menolak dengan alasan jauh dari kediaman mereka.
Penduduk sebaliknya meminta untuk membeli rumah pangsa kos rendah yang sedang dibina di Taman Cuepacs bersebelahan kampung mereka tetapi tidak dipenuhi oleh DBKL dengan alasan projek itu dimajukan oleh pihak swasta.
Rumah kekal
"Permasalahan kami telah bermula dari tahun 1998, iaitu untuk mendapatkan rumah kekal berhampiran Kampung Sungai Udang dan telah dimaklumkan kepada DBKL, tetapi tidak ada langkah penting yang diambil.
"Kami meminta pertimbangan Perdana Menteri membantu mendapat 28 unit rumah pangsa yang dibina di Taman Cuepacs Seri Segambut bersebelahan kampung kami yang dimajukan oleh Megah Kepong Sdn Bhd," katanya dalam memorandum tersebut.
Mohamad berkata, pihaknya telah menghantar memorandum kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ruslin Hassan dan mengadakan perbincangan dengan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Isa Samad tetapi tidak menerima jawaban positif.
DBKL sebelum ini dalam suratnya kepada penduduk setinggan Kampung Sungai Udang memberi tempoh sehingga 8 Mac lalu untuk mereka berpindah atau rumah mereka diroboh bagi memberi laluan kepada projek tebatan banjir di kampung tersebut.
Berikutan penduduk enggan berpindah, lima pegawai DBKL datang ke kampung tersebut Isnin lalu dan memberitahu bahawa mereka akan merobohkan rumah tersebut pada hari Sabtu atau Isnin ini.
Setiausaha Jawatankuasa Bertindak Penduduk Setinggan Kampung Sungai Udang, Gulam Shariff yang hadir sama di majlis penyerahan memorandum tersebut berkata, DBKL hanya menawarkan pampasan RM1,000 kepada penduduk.
"Dua tahun lalu, DBKL memberikan pampasan RM5,000 kepada 40 keluarga setinggan dari kawasan ini yang ditawarkan rumah oleh syarikat Magna Prima Sdn Bhd di Kepong. Jadi jumlah RM1,000 sekeluarga adalah terlalu rendah," katanya.
Beliau berkata, penduduk sudah 38 tahun meneroka Kampung Sungai Udang dan meminta pihak-pihak yang berkenaan supaya memberikan pertimbangan sewajarnya terhadap permohonan mereka untuk mendapatkan rumah secara kekal.

