Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Bank Negara Malaysia perlu membatalkan syarat membuat laporan berkenaan transaksi kewangan dalam jumlah yang besar jika mereka enggan menyiasat pindahan dana 1MDB, kata seorang anggota parlimen hari ini.

Lim Lip Eng mendakwa ketika ini polis dan Bank Negara tidak bertindak ke atas dua pegawai AmBank yang didakwa membantu pemindahan wang dari 1MDB atau anak syarikat agensi pelaburan berkenaan ke akaun Datuk Seri Najib Razak.

"Ketika ini polisi Bank Negara ialah mewajibkan semua bank melaporkan dan menyatakan tujuan pemindahan atau pembayaran jika melibatkan jumlah lebih RM100,000," katanya kepada media hari ini.

Sebelum itu Lim membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi berkaitan laporan The Wall Street Journal (WSJ) yang mendakwa tokoh perniagaan yang rapat dengan keluarga Najib, Low Taek Jho, mengendalikan akaun peribadi perdana menteri itu dengan dibantu dua pegawai AmBank.

Mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2001 (Amla) undang-undang mewajibkan institusi perbankan membuat laporan sebarang transaksi wang melebihi RM50,000.

Lim yang juga anggota parlimen Segambut berkata dia membuat laporan polis untuk menggesa pihak berkuasa menyiasat sama ada tindakan dua pegawai bank terbabit menyalahi Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 atau akta lain yang berkaitan.

"Jika Bank Negara atau polis tak mahu bertindak atas laporan saya, keperluan (membuat pengisytiharan transaksi) itu tidak lagi relevan, bertindih, berlebihan dan tidak diperlukan lagi," katanya.

Lim juga berkata dia terpaksa membuat laporan polis berkenaan selepas tiada maklum balas daripada Bank negara, polis dan AmBank bagi menjelaskan dakwaan WSJ pada 6 September lalu.

"Artikel disiarkan WSJ mendakwa dua pegawai kanan (bank) telah membantu Jho Low untuk memindahkan wang dari 1MDB atau anak syarikat 1MDB ke akaun Najib.

"Jumlah yang dipindahkan lebih kurang AS$1 bilion. Ia adalah pemindahan wang yang sungguh besar.

"Dalam artikel itu dikatakan dua pegawai AmBank cuba merahsiakan pemindahan ini daripada diketahui Bank Negara. Ini adalah satu perbuatan money laundering (pengubahan wang haram)," katanya.

Sementara itu anggota jawatankuasa DAP Selangor Young Syefura Othman pula mempertikaikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang berlengah menyiasat isu berkaitan 1MDB.

Keadaan begitu, katanya, tidak sama apabila membabitkan FAM.

"SPRM telah menyiasat FAM, jadi saya ingin bertanya, kenapa isu mengenai 1MDB masih tak ada langsung tindakan?

"Isu bola sepak (FAM) mereka boleh bertindak segera, tapi dengan 1MDB yang melibatkan wang rakyat Malaysia, tindakan itu tak dilakukan dengan pantas," katanya.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS