Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
SPRM, DBKL tubuh pasukan petugas khas
Diterbitkan:  Sep 10, 2016 5:46 PM
Dikemaskini: 9:50 AM

Sebuah pasukan petugas khas dibentuk bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi meneliti kelemahan sistem dan prosedur serta memantapkan perkhidmatan pihak berkuasa tempatan berkenaan.

Dalam kenyataan media hari ini SPRM berkata pasukan petugas khas terbabit ditubuhkan bagi menutup ruang dan peluang berlakunya ketidakpatuhan dalam pelaksanaan projek-projek di DBKL.

Langkah itu, kata SPRM dapat dibuat dengan meneliti punca-punca kelemahan yang wujud dan memperakukan cadangan serta nasihat bagi mengambil langkah sewajarnya bagi mengatasi kelemahan sedia ada.

"Pasukan petugas khas itu diketuai oleh Pengarah Siasatan SPRM Datuk Azam Baki," kata kenyataan itu.

Keanggotaan pasukan itu pula terdiri daripada pegawai Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan SPRM, Bahagian Siasatan SPRM dan Jabatan Integriti DBKL.

"Sebagai permulaan, pasukan ini mengenal pasti lima isu berkaitan amalan, sistem dan tatacara kerja yang melibatkan lima jabatan di DBKL.

"Antara isu yang dikenal pasti ialah pengurusan projek perumahan penswastaan, garis panduan pembelian harta tanah oleh pegawai dan kakitangan, pemilikan dan pengisytiharan harta, pengurusan Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA), serta pemantauan pembangunan tanah di ibu negara," kata kenyataan tersebut.

Buka ruang kerjasama lain

Pada 15 Ogos lalu SPRM mengumumkan mereka menahan seorang pegawai kanan DBKL berpangkat Datuk Seri kerana disyaki terlibat dalam kegiatan rasuah, penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram.

Turut ditahan dalam operasi serentak di Kuala Lumpur, Melaka dan Kelantan itu ialah dua lagi suspek dengan seorang daripadanya berpangkat Datuk.

Lanjutan daripada penahanan itu SPRM dilaporkan menyiasat kira-kira 30 kakitangan DBKL kerana dipercayai bersekongkol dengan suspek berpangkat Datuk Seri berkenaan.

Memetik kenyataan Azam, New Straits Times melaporkan suspek terdiri daripada pelbagai peringkat jawatan dan disyaki memaksa pemaju perumahan memberikan unit kondominium percuma kepada mereka sebagai balasan meluluskan sesuatu projek.

Kediaman yang diperoleh tanpa bayaran itu kemudian dijual pada harga lebih tinggi.

Pada 9 September Malaysiakini melaporkan Pengarah Eksekutif (Pengurusan Projek) DBKL Datuk Seri Syed Afendy Ali Syed Abid Ali didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas sembilan pertuduhan rasuah dan sembilan pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah RM4.4 juta.

Bagaimanapun, Syed Afendy Ali, 54, mengaku tidak bersalah terhadap semua 18 pertuduhan itu di hadapan hakim Allaudeen Ismail.

Ekoran penubuhan pasukan petugas khas tersebut mereka akan merangka beberapa cadangan kepada DBKL untuk mengukuhkan lagi tatacara kerja pegawai dan kakitangan serta sistem dan prosedur organisasi tersebut.

"SPRM berharap kerjasama dua pihak ini akan membuka ruang kepada agensi-agensi lain turut bekerjasama dengan SPRM bagi membendung perbuatan salah guna kuasa dan penyelewengan sekaligus memperkukuhkan lagi tatacara kerja dalam sektor awam," kata agensi antirasuah berkenaan.

Lihat Komen
ADS