Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Ismail ajak ahli Umno tebuk 'perahu' Mahathir
Diterbitkan:  Sep 10, 2016 6:33 PM
Dikemaskini: 10:40 AM

Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meminta ahli parti itu tidak bernostalgia dengan bekas presiden mereka, Tun Dr Mahathir Mohamd.

Sebaliknya kata Ismail Sabri Umno perlu bertindak segera bagi memastikan parti itu terselamat.

Kelalaian, katanya, hanya akan menyebabkan Umno terumbang-ambing.

Justeru 'petua' dicadangkan Ismail Sabri ialah, ahli Umno perlu 'menebuk' perahu parti baru disertai bekas perdana menteri itu, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

"Jangan kita terkenang-kenang akan jasa Tun Dr Mahathir sehingga perahu kita terumbang-ambing. Beliau sekarang sudah berada dalam perahu lain yang mana beliau bukan hendak menolong perahu kita pun.

"Sebelum beliau tebuk perahu kita, maka adalah lebih baik kita tebuk perahu beliau dahulu.

"Apa yang penting ahli Umno perlu buat sekarang adalah menguatkan parti dan terus bekerja demi bangsa, agama dan negara," katanya dilaporkan Bernama hari ini.

Ismail Sabri yang juga menteri kemajuan luar bandar dan wilayah berucap sedemikian di majlis persidangan perwakilan Umno Kuantan.

Turut hadir ketua di bahagian itu Datuk Seri Wan Adnan Wan Mamat.

Dr Mahathir pernah menjadi presiden Umno dan perdana menteri selama 22 tahun sekali lagi bertindak keluar dari parti berkenaan kerana tidak sependapat dengan Datuk Seri Najib Razak.

Gagal mengajak ahli dan pimpinan Umno menyingkirkan Najib, Dr Mahathir kemudian berpakat dengan bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menubuhkan parti BERSATU.

Pecah-belahkan Melayu

Permohonan parti itu untuk didaftarkan diterima Perndaftar Pertubuhan (ROS) semalam.

Muhyiddin bertindak sebagai presiden manakala Dr Mahathir dilantik sebagai pengerusi penaja parti berkenaan.

Sebelum Najib, Dr Mahathir pernah menjalankan kempen mengetepikan seorang lagi perdana menteri suatu ketika dulu.

Tidak senang dengan cara dan pendekatan Tun Abdullah Ahmad Badawi, Dr Mahathir mengajak sebahagian anggota dan pimpinan Umno mendesak presiden parti itu ditukar.

Selepas beberapa ketika Abdullah akhirnya mengalah dan memberi laluan kepada Najib menjadi perdana menteri serta presiden Umno.

Menurut Ismail Sabri tidak dapat dinafikan Dr Mahathir berjasa membangunkan negara.

Namun katanya anggota Umo perlu menyedari tokoh terbabit kini tidak lagi berada pada landasan perjuangan sama dengan mereka.

Tumpuan Umno kini, katanya, adalah kerja-kerja memperkukuhkan parti sebagai menghadapi pilihan raya umum ke-14.

Menurut Ismail Sabri, penubuhan BERSATU jelas bertujuan untuk memecah-belahkan anggota Umno.

"Tujuan mereka adalah untuk memecah-belahkan Umno kerana pada mereka kalau Umno berpecah-belah, maka orang Melayu juga akan berpecah. Ini kerana kekuatan orang Melayu terletak pada Umni," katanya dipetik Bernama.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS