Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengakui bahawa cadangan supaya pemaju perumahan diberi lesen pemberi pinjaman wang, untuk membantu pembeli rumah yang menghadapi kesukaran mendapat pinjaman bank tidak pernah dibincangkan pada peringkat kabinet.

"Cadangan itu tidak pernah dibincangkan oleh kabinet dan kita telah mintanya berikan penjelasan," kata Zahid merujuk kepada pengumuman awal yang dibuat oleh Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar.

Zahid berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan perhimpunan agung Parti Makkal Sakti di Dewan Tun Abdul Razak Menara Kembar Bank Rakyat di Kuala Lumpur.

Khamis lalu, Noh berkata, pemaju yang berminat boleh menyerahkan permohonan lesen pemberi pinjam wang, di bawah Akta Pemberi Pinjam Wang (Pindaan 2011) atau dikenali sebagai Akta 400, di bawah bidang kuasa kementeriannya.

Beliau berkata dengan lesen pemberi pinjam wang, pemaju boleh membantu pembeli bagi pembiayaan 100 peratus atau sebahagian, manakala kadar faedah tidak boleh melebihi 18 peratus setahun.

Bagaimanapun pengumumannya itu menerima pelbagai bantahan dan Noh kemudiannya menjelaskan bahawa cadangan itu bertujuan untuk memberi pembeli rumah pilihan, sekiranya mereka tidak boleh mendapatkan pinjaman bank.

[Baca berita penuh]