Anggap semua parti komponen seperti parti sendiri - Dr Subra
Semua parti komponen BN harus terus bersatu padu, dengan para pemimpinnya perlu saling menganggap parti komponen sebagai parti mereka, kata Presiden MIC Datuk Seri Dr S Subramaniam.
Sehubungan itu, katanya para pemimpin parti komponen perlulah mengelak daripada terlibat dengan sebarang konflik yang boleh menjejaskan BN.
"Dalam BN, kita ada konsensus dan semasa mesyuarat, kita membincangkan pelbagai isu dan membuat keputusan (mengenainya)," katanya kepada pemberita di ibu pejabat MIC di Kuala Lumpur, hari ini.
Komennya itu dibuat ketika perbalahan terbuka antara Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dengan Anggota Jawatankuasa Pusat MCA Datuk Seri Ti Lian Ker.
Terdahulu, Dr Subramaniam yang juga Menteri Kesihatan, merasmikan satu pameran gambar sempena ulang tahun ke 70 parti itu.
Dr Subramaniam berkata sebarang kritikan terbuka dalam kalangan parti komponen pasti menjadi isu yang kelak boleh melemahkan BN.
"Parti-parti komponen BN harus mengelak terbabit dalam debat terbuka yang boleh memanfaatkan parti pembangkang," katanya.

