Anggota dan pemimpin Umno perlu mendepani penubuhan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dengan bersikap matang dan berilmu bagi memastikan parti keramat orang Melayu itu kekal relevan, kata Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Razali Ibrahim.

Beliau berkata mereka perlu menerapkan sikap yang sama sepertimana ketika menghadapi gerakan yang tercetus akibat pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai timbalan presiden Umno dan timbalan perdana menteri pada 1998 yang berjaya mengeluarkan Umno daripada kemelut pergolakan.

Anggota dan pemimpin Umno tidak boleh terus leka dan berselisih pendapat sesama sendiri kerana menurutnya apa yang bakal berlaku dalam pilihan raya umum ke-14 nanti adalah cerminan kepada tindak balas mereka terhadap gerakan parti baharu itu.

Razali yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Ketua Umno Bahagian Muar berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program korban perdana Parlimen Muar di Kampung Nelayan Parit Jawa, dekat Muar, hari ini.

Beliau tidak menolak akan wujud cabaran hasil penubuhan parti baharu itu berikutan anggotanya terdiri daripada anggota dan pemimpin Umno yang telah keluar parti dan kini giat ‘mencari’ anggota Umno untuk menyertai mereka.

“Namun jika kita bersatu, memahami perjuangan dan mendepani mereka dengan cara yang matang dan berilmu, maka kita akan dapat menghadapinya sekali lagi,” katanya.

- Bernama