DBKL setuju tangguh roboh rumah setinggan Sg Udang
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersetuju untuk menangguhkan operasi merobohkan rumah setinggan penduduk Kampung Sungai Udang, Segambut selepas mengadakan rundingan dengan secara tertutup dengan beberapa pihak terbabit pagi tadi.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersetuju untuk menangguhkan operasi merobohkan rumah setinggan penduduk Kampung Sungai Udang, Segambut selepas mengadakan rundingan dengan secara tertutup dengan beberapa pihak terbabit pagi tadi.
Ketua Pengarah DBKL, Salleh Yusup memberikan jaminan tersebut dalam perjumpaan dengan wakil penduduk terbabit, Mohamad Yaacob; Setiausaha Politik Menteri Kewangan 1, Reezal Merican Naina Merican; Ketua Umno Bahagian Segambut, Datuk Kamaruddin Ambok dan wakil Ahli Parlimen Segambut, Teng Shee Kin, di DBKL hari ini.
Ketika ditemui kemudian, Mohamad (
gambar,tengah
) berkata, Salleh akan menghubungi Direktorat Penguatkuasa DBKL dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) supaya menangguhkan operasi merobohkan rumah setinggan Kampung Sungai Udang yang dijadualkan esok atau Isnin ini.
Katanya, Salleh memberi jaminan operasi itu akan ditangguhkan sehinggalah penduduk terbabit mendapat rumah tetap di kawasan sekitar Segambut.
"Satu mesyuarat melibatkan DBKL, wakil penduduk Kampung Sungai Udang dan pemaju Taman Cuepacs Megah Kepong Sdn Bhd akan diadakan esok bagi membolehkan penduduk membeli rumah pangsa kos rendah Taman Cuepacs," katanya.
Beliau berkata, DBKL juga mahu menawarkan kepada penduduk terbabit rumah kos sederhana di kawasan Jinjang tetapi mereka belum membuat keputusan kerana mahu menunggu mesyuarat dengan pemaju esok.
Menurut Mohamad, dalam mesyuarat pagi tadi, Reezal Merican bertanya mengapa pemaju Taman Cuepacs tidak menawar rumah kepada penduduk terbabit, sedangkan ia terletak bersebelahan di kampung mereka.
Katanya, Shee Kin menjawab 400 penduduk sudah membeli rumah pangsa Taman Cuepacs tersebut dan telah menandatangani perjanjian jual-beli.
DBKL akan siasatan
Bagaimanapun, Mohamad mendakwa setinggan Kampung Sungai Udang sendiri tidak ditawarkan untuk membeli rumah tersebut dan apabila penduduk pergi ke pejabat pemaju, mereka mengatakan semua unit sudah dijual.
"Apabila Reezal dan saya bertanya mengapa berlaku ketidakadilan ini, akhirnya barulah Shee Kin mengaku bahawa rumah itu belum diagihkan kepada pembeli. Berikutan itu DBKL akan membuat siasatan mengenai perkara itu," katanya.
Mohamad berkata, penduduk setinggan Kampung Sungai Udang mahu tahu siapakah pembeli sebenar rumah pangsa Taman Cuepacs tersebut sehingga permohonan setinggan untuk membli rumah tersebut tidak dilayan.
"Kami berharap DBK menyiasat perkara tersebut untuk memberi keadilan kepada pembeli khususnya penduduk setinggan Kampung Sungai Udang," katanya lagi.
Beliau berkata, perkembangan tersebut cukup melegakan penduduk terbabit setelah memorandum kepada DBKL dan perbincangan dengan Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Mohd Isa Samad, sebelum ini, tidak membuahkan sebarang hasil.
Katanya, penduduk berterima kasih kepada Reezal Merican yang menunjukkan sikap prihatin untuk membantu penduduk setinggan Kampung Sungai Udang setelah beberapa pihak lain termasuk Umno bahagian bersikap 'lepas tangan'.
Perkembangan positif ini, katanya lagi, berlaku setelah penduduk menghantar memorandum kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Putrajaya Rabu lalu. Memorandum tersebut telah diterima oleh wakil beliau Hizairi Zainal Abidin.
Projek tebatan banjir
Bagaimanapun, Reezal Merican telah mengadakan perbincangan dengan wakil penduduk di pejabatnya di Kementerian Kewangan dan menyatakan akan menyokong penduduk setinggan Kampung Sungai Udang mendapat pembelaan sewajarnya.
DBKL menawarkan rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Jinjang dengan sewa bulanan sebanyak RM124 sekeluarga kepada penduduk setinggan Kampung Sungai Udang tetapi mereka menolak dengan alasan jauh dari kediaman mereka.
Penduduk sebaliknya mahu membeli rumah pangsa kos rendah yang sedang dibina di Taman Cuepacs bersebelahan kampung mereka tetapi tidak dipenuhi oleh DBKL dengan alasan projek itu dimajukan oleh pihak swasta.
DBKL sebelum ini dalam suratnya kepada penduduk setinggan Kampung Sungai Udang memberi tempoh sehingga 8 Mac lalu untuk berpindah atau rumah mereka diroboh bagi memberi laluan kepada projek tebatan banjir di kampung tersebut.
Berikutan penduduk enggan berpindah, lima pegawai DBKL datang ke kampung tersebut Isnin lalu dan memberitahu bahawa mereka akan merobohkan rumah tersebut pada hari Sabtu atau Isnin ini.

