Projek bina 48 banglo di taman rekreasi di Batu dikaji semula
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersetuju untuk mengkaji semula projek pembinaan 48 unit banglo berkembar di atas tapak taman rekreasi di Taman Metropolitan, Batu setelah mengadakan rundingan dengan penduduk hari ini.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersetuju untuk mengkaji semula projek pembinaan 48 unit banglo berkembar di atas tapak taman rekreasi di Taman Metropolitan, Batu setelah mengadakan rundingan dengan penduduk hari ini.
Persetujuan tersebut diberikan oleh Ketua Pengarah DBKL, Salleh Yusup selepas mengadakan perjumpaan dengan Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Metropolitan, Nazry Abdul Hamid di pejabat DBKL pagi tadi.
Dalam pertemuan itu, Nazry juga menghantar memorandum kepada Salleh meminta DBKL membatalkan projek pembinaan 48 banglo berkembar tersebut kerana ia akan memusnahkan taman rekreasi tersebut.
"Kami meminta DBKL mengambil semula tanah yang diberikan kepada pemaju iaitu Crystal Hill Sdn Bhd dan dikembalikan kepada keadaan asal sebelum projek tersebut diteruskan.
"Projek pembinaan banglo berkembar boleh dibuat di tempat lain dan bukannya di kawasan taman rekreasi yang sudah beroperasi sejak dua tahun lalu," katanya dalam memorandum tersebut.
Nazry berkata, projek pembinaan banglo berkembar di Taman Metropolitan baru memasuki peringkat awal iaitu kerja-kerja meratakan tanah, menebang pokok dan membina jalan masuk ke tapak projek.
Sebelum ini, penduduk Taman Metropolitan mendakwa DBKL menyerahkan taman rekreasi di taman tersebut seluas 6.8 ekar kepada sebuah pemaju untuk dibangunkan dengan projek rumah banglo.
Piket secara aman
Mereka juga mendakwa Pejabat Tanah Gombak tidak membuat siasatan terhadap status tanah tersebut sehingga membolehkan pemaju swasta mengambil taman rekreasi itu untuk projek perumahan.
Nadzry mendakwa tanah seluas 6.8 ekar tersebut akan dimajukan dengan 48 unit banglo yang berharga RM600,000 hingga RM1 juta seunit.
Bagaimanapun, dakwanya, projek pembinaan banglo berkembar itu dibina di atas taman rekreasi tersebut bagi menggantikan kawasan lombong yang tidak dapat dimajukan dengan projek perumahan.
Berikutan itu baru-baru ini kira-kira 1,000 penduduk mengadakan piket secara aman di Taman Metropolitan bagi membantah projek pembinaan banglo berkembar di atas tapak taman rekreasi tersebut.
Pembinaan 48 unit rumah berkembar adalah tambahan daripada 50 yang sudah dimajukan dengan rumah berkembar dan rumah teres dengan kira-kira 10,000 penduduk.
Nadzry berkata, mereka membantah kerana taman rekreasi ini sudah digunakan sejak Taman Metropolitan dibuka tiga tahun lalu dan ia menjadi tumpuan bagi keseluruhan penduduk kawasan Batu dan kawasan sekitar.
"Pembinaan banglo itu akan menyebabkan penduduk tidak mempunyai tempat riadah selain menimbulkan kesesakan lalulintas kerana tiada jalan lain kecuali satu jalan kecil menuju Jalan Ipoh," katanya.

