Apa sudah jadi pada akta pembiayaan politik?
Cadangan akta pembiayaan politik dijadual diserahkan kepada kabinet bulan lalu tetapi sehingga kini menteri berkaitan dikatakan masih “diam seribu bahasa” berkaitan statusnya.
Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) berkata status penghantaran cadangan oleh Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik (JKNMPP) yang dipengerusikan oleh Datuk Paul Low masih menjadi tanda tanya.
Pengarah eksekutif C4 Cynthia Gabriel berkata proses pembentukan dasar melibatkan kepentingan umum harus dikongsi perkembangannya kepada awam tanpa perlu sebarang bentuk kerahsiaan.
“Keterbukaan pihak JKNMPP dalam berkongsi maklumat dapat mematahkan persepsi negatif masyarakat bahawa pihak kerajaan hanyalah mementingkan kelangsungan parti politik yang memerintah membelakangi kepentingan masyarakat awam,” katanya.
Cadangan akta itu dibuat bagi mewujudkan satu pelan pembiayaan politik yang telus dan menyeluruh.
Dalam kenyataan hari ini, C4 berkata pihaknya dan beberapa NGO lain turut membuat kertas cadangan tersendiri bagi menyumbangkan idea mereka kepada kerajaan.
“Datuk Paul Low sendiri menyatakan keperluan dan peri pentingnya bagi satu undang-undang yang mengawal selia pembiayaan politik diwujudkan kerana pada masa ini tidak terdapat sebarang peraturan mengenai pembiayaan politik di negara ini.
“Pembiayaan aktiviti politik seharusnya dikawal selia agar korupsi yang berakar umbi antara pemberi dana dan parti-parti juga ahli politik dapat dihapuskan,” katanya.

