Presiden MIC Datuk Seri S Subramaniam membidas Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Aziz kerana menghentam komponen BN atas prestasi buruk mereka dalam pilihan raya lalu.

"Saya telah bertemu Nazri pagi ini dan menyatakan rasa tidak puas hati saya atas beberapa kenyataan tersebut.

"Walaupun dialog politik yang positif dialu-alukan, kita harus mengelakkan situasi buruk yang boleh memecah belahkan semangat BN.

"Kenyataan Nazri telah menyinggung perasaan pemimpin MIC di peringkat akar umbi," katanya.

Subramaniam berkata adalah malang apabila sejak kebelakangan ini berlaku pertikaman lidah antara pemimpin parti komponen BN.

"Ia pendirian saya bahawa pemimpin-pemimpin BN harus mengelakkan keadaan seperti ini yang akan mewujudkan ketegangan yang tidak perlu di kalangan parti-parti komponen BN. Kita perlu menegakkan prinsip saling hormat-menghormati antara satu sama lain," kata Subramaniam.

Justeru beliau meminta ahli-ahli MIC supaya bertenang.

"Kami membincangkan isu ini bersama-sama pagi ini sebelum mesyuarat mingguan kabinet.

"Kita semua bersetuju bahawa berbalas cakap tidak akan memberi petanda baik kepada BN secara keseluruhan," katanya.

Beliau berkata semua pihak bersetuju untuk menghentikan pertikaman lidah dan terus bekerja ke arah memperkukuhkan BN dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.