Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
DAP, AMANAH ucap takziah pada keluarga Haron Din
Diterbitkan:  Sep 16, 2016 2:23 PM
Dikemaskini: 6:35 AM

Ketua parlimen DAP, Lim Kit Siang melahirkan simpati dan merakam ucapan takziah bagi pihak parti itu terhadap keluarga Allahyarham Datuk Dr Haron Din.

"Walaupun kami mempunyai perbezaan politik, DAP mengiktiraf peranan Haron sebagai seorang tokoh penting dalam arena politik dan dalam senario dakwah," kata Lim dalam satu kenyataan hari ini.

PAS dan DAP sebelum ini berselisih pendapat terhadap rancangan parti Islam itu untuk melaksanakan undang-undang hudud di Kelantan yang membawa kepada perpecahan Pakatan Rakyat.

Dalam perkembangan sama, parti serpihan PAS, AMANAH turut merakamkan ucapan takziah menerusi kenyataan presidennya Mohamad Sabu.

"Bagi AMANAH, pemergian Allahyarham satu kehilangan besar bukan sahaja buat gerakan dakwah negara ini, malah juga seluruh rakyat Malaysia umumnya.

"Sepanjang hayatnya, Allahyarham banyak berjasa kepada masyarakat khususnya dalam aspek dakwah dan bidang perubatan alternatif.

"Walaupun berbeza dari sudut pendekatan dan parti politik sekarang ini, saya percaya seluruh ahli AMANAH juga atas nilai karamah insaniah dan persaudaraan Islam, turut merasai kehilangan Allahyarham.

"Apatah lagi, ramai di antara kami pernah bersama lama dalam satu wadah sebelum ini," katanya.

Terdahulu, Haron Din meninggal dunia di Hospital Stanford San Francisco, Amerika Syarikat pagi ini selepas mengalami masalah jantung.

Allahyarham menggembuskan nafas terakhir pada usia 76 tahun dan meninggalkan seorang isteri, Datin Khatijah Din dan lima cahaya mata.

Lihat Komen
ADS