Proses persempadanan semula Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur boleh menyebabkan penyandang kerusi Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar kalah ekoran peningkatan jumlah pengundi polis.

Ahli Parlimen Segambut dari DAP, Lim Lip Eng semasa sidang akhbar di Pusat Komuniti Manjalara pagi ini berkata, ini kerana kawasan mengundi polis dari Segambut dipindahkan ke Lembah Pantai.

Ujar Lim, kawasan yang diwakilinya pada asalnya melibatkan daerah mengundi Tasik Perdana yang terdiri daripada sebahagian besar pengundi di kalangan kakitangan polis persekutuan ibu pejabat Bukit Aman.

Bagaimanapun, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bercadang untuk memindahkan 6,598 pengundi di Tasik Perdana ke Lembah Pantai yang merupakan kerusi marginal dimenangi Nurul Izzah pada pilihan raya umum lepas, jelas Lim.

Menurut Lim, walaupun proses persempadanan semula itu akan meningkatkan peluang kepadanya untuk terus mempertahankan kerusinya, namun, kos terpaksa ditanggung Nurul Izzah.

"Saya hilang lebih 6,000 undi polis pada pilihan raya umum lepas...ini membuktikan SPR bekerjasama dengan Umno dengan kedua-dua pihak berfikir boleh abaikan Segambut.

"Keluarkan 6,000 undi polis dan pindahkan mereka ke dalam kawasan Nurul Izzah.

"Nurul akan hilang 6,000 undi sebelum pilihan raya umum bermula," katanya.

Tambah beliau, jika bilangan itu digabungkan dengan undi pos Lembah Pantai, naib presiden PKR itu akan kehilangan lebih 10,000 undi sebelum hari mengundi.

[Baca berita penuh]