Umno Pasir Puteh, 10 NGO lapor polis terhadap BERSIH 5
UMNO Bahagian Pasir Puteh bersama 10 badan bukan kerajaan (NGO) di daerah ini membuat laporan polis meminta pihak berkuasa bertindak terhadap penganjur perhimpunan Bersih 5 di Kuala Lumpur pada
19 November ini.
Laporan polis itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Puteh di Pasir Puteh pada pukul 2 petang hari ini.
Antara NGO tersebut ialah Kelab Pemuda Bersatu Pasir Puteh, Jawatankuasa Perwakilan Penduduk Pasir Puteh, Himpunan Maruah Melayu Pasir Puteh, Persatuan Penjaja Pasir Puteh, dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Pasir Puteh.
Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh Datuk Hashim Ismail berkata mereka mahu polis bertindak terhadap kumpulan berkenaan antaranya bagi mengelakkan terjejasnya keselamatan dan ketenteraman awam akibat perhimpunan itu.
Laporan media sebelum ini menyebut Pengerusi Bersih Maria Chin Abdullah telah menetapkan tarikh perhimpunan itu.
Dikatakan beberapa acara konvoi seluruh negara akan dianjurkan menjelang perhimpunan itu, yang bermula pada 1 Oktober nanti.
Sementara itu, Pertubuhan Mesra Setiakawan Malaysia (PMSM) turut membuat laporan polis, di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan.
Presiden PMSM, Mohd Azli Jaafar berkata himpunan sedemikian dilihat akan membawa kerugian kepada peniaga di kawasan terlibat malah mendakwa ia juga pasti mencetuskan kekecohan sehingga mengganggu orang awam.
Beliau turut meminta polis supaya menyiasat Pengerusi Bersih, Maria Chin Abdullah berikutan dia didakwa telah meniupkan hasutan berbentuk politik kebencian melampau menerusi satu rakaman video yang dimuat naik di laman sosial baru-baru ini.
Bercakap kepada pemberita, Mohd Azli berkata, segala fakta yang dilontarkan Maria Chin menerusi rakaman video berkenaan dilihat mengelirukan dan tidak benar.
-Bernama

