Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Panglima Tentera Darat mahu mahasiswa berjiwa patriotik
Diterbitkan:  Sep 19, 2016 8:14 AM
Dikemaskini: 12:17 AM

Rakyat Malaysia diseru supaya sentiasa menghargai perjuangan yang dilalui pejuang-pejuang kemerdekaan dahulu, kata Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

"Hasil kegigihan dan pengorbanan mereka tanpa mengharapkan apa-apa ganjaran, kita sebagai anak cucu mereka kini hidup dalam suasana penuh aman dan damai.

Maka, peliharalah kedamaian ini untuk generasi akan datang," katanya ketika berucap di Majlis Malam Apresiasi Merdeka sempena Penutupan Program Kembara Amal Anak Merdeka 2016 (PATRIOT’16) anjuran mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia, semalam.

Raja Mohamed Affandi juga berkata perpaduan yang merupakan suatu nikmat yang amat berharga dan tidak ternilai harganya.

"Oleh itu, ia perlu dibelai, dipupuk dan dipelihara dalam diri kita semua agar kemerdekaan Malaysia dapat dipertahankan walaupun jasad, nyawa serta maruah menjadi taruhan," katanya.

Beliau berkata, semua pihak juga seharusnya menggembleng tenaga secara bersepadu dalam mencorakkan mahasiswa yang berjiwa patriotik dan kental akar umbi nasionalismenya kerana mereka inilah yang bakal menjadi barisan pelapis kepimpinan negara kelak.

Dalam majlis itu juga, replika cek RM11,305.90 diserahkan kepada Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia yang berjaya dikumpulkan dalam program kembara amal yang bermula dari 14 September dan berakhir semalam.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS