BN dan Umno akan mengadakan mesyuarat khas pada 23 dan 30 September ini bagi membincangkan persempadanan semula yang dicadangkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), kata Setiausaha BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Sebarang keputusan pada mesyuarat berkenaan akan dibawa kepada SPR, katanya.

"Jumlah kerusi dan persempadanan akan menentukan kerusi yang akan kerajaan menang, oleh itu keseluruhan proses memberi kesan kepada kita," katanya yang dipetik oleh akhbar Oriental Daily hari ini.

Terdahulu, Tengku Adnan yang juga adalah setiausaha agung Umno berkata parti itu perlu menggerakkan jentera pilihan raya dan setiap cawangan dan bahagian perlu mulai memeriksa daftar pemilih.

Ini adalah untuk memastikan persediaan lebih baik sekiranya pilihan raya diadakan lebih awal, katanya.

Politik perkauman

Sementara itu, parti-parti komponen BN, MCA dan Gerakan menyatakan bantahan mereka terhadap cadangan persempadanan semula SPR tersebut.

Tindakan itu akan memburukkan lagi perpecahan dalam masyarakat kerana pengundi seolah-olah dipindahkan ke kerusi berlainan berdasarkan etnik mereka, kata Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Ini bertentangan dengan kepercayaan MCA untuk memperjuangkan hubungan harmoni di kalangan masyarakat berbilang kaum, katanya ketika merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan MCA Kapar.

"Kerajaan tidak akan lagi dapat meneruskan idea-idea politik pelbagai kaum dan sederhana," katanya.

Liow berkata negara ini akan berdepan risiko menuju ke arah negara perkauman dan teokrasi, yang secara beransur-ansur akan mengheret masyarakat Cina ke dalam krisis.

"Saya telah mengarahkan bahagian MCA terjejas untuk mengemukakan laporan kepada kepimpinan pusat.

“Ini adalah untuk membolehkan parti untuk menganalisis keadaan selepas mendapat semua input," katanya.

MCA akan mengemukakan pandangannya kepada SPR untuk membetulkan masalah berkenaan demi mengekalkan perpaduan di negara ini.

Pada sidang akhbar selepas itu, Liow berkata adalah salah dan tidak sihat untuk menjalankan persempadanan semula mengikut kaum pengundi kerana ini akan membawa kepada politik perkauman.

Sementara itu, Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong berkata, persempadanan semula yang dicadangkan itu akan menjejaskan peluang partinya untuk menang di 45 kerusi Parlimen dan DUN yang ditandingi.

Sebahagian daripada kerusi tradisional yang ditandinginya, termasuk Teluk Intan, Beruas dan Taiping, akan terjejas, katanya, sambil menambah ini tidak adil kepada Gerakan kerana akar umbi telah bekerja keras di sana.

Katanya, Gerakan telah mengenal pasti antara kawasan yang ia boleh menang dalam pilihan raya umum akan datang.

[Baca berita penuh]