Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menegaskan tiada keperluan untuk pilihan raya awal diadakan di negeri itu.

Beliau yang juga Timbalan Presiden PKR, berkata kerajaan negeri pimpinannya akan terus bekerja hingga tamat tempoh lima tahun penggal pentadbiran.

"Tidak perlu (Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor dibubarkan). Saya tidak boleh khianat mandat yang diberikan oleh rakyat Selangor pada pilihan raya umum lalu.

“Kami (pentadbiran negeri) akan bekerja keras dalam tempoh lima tahun sebelum mengadakan pilihan raya negeri," katanya yang dipetik Berita Harian Online, hari ini.

Azmin mengulas kenyataan pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang bahawa Pakatan Harapan patut mempertimbangkan pilihan raya mengejut di Selangor.

Ini kerana menurut Lim, cadangan persempadanan semula oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah 'mengubah' peta negeri itu dengan tujuan membolehkan Umno kembali berkuasa, khususnya di Selangor.

Mengulas lanjut, Azmin berkata, beliau dan pimpinan PKR sedang meneliti cadangan SPR itu selain akan mengadakan pertemuan dengan peguam untuk melihat jika ada ruang mengambil tindakan undang-undang terhadap usul persempadanan semula itu.

"Sebagai kerajaan negeri, kami mempunyai hak untuk membantah. Bukan sekadar kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) sehingga pengundi juga ada hak di sisi undang-undang untuk membantah," katanya.