Keluarga 5 remaja ditembak fail saman terhadap IGP, k'jaan
Pada pukul 4.30 pagi 19 Ogos 2013, polis menyerbu sebuah pangsapuri di Sungai Nibong Pulau Pinang dan melepaskan tembakan menyebabkan kematian lima remaja.
Ketua Polis Pulau Pinang ketika itu Datuk Seri Abdul Rahim Hanafi mendakwa lima remaja itu - Suresh Murugasen, Ramesh Ranganathan, Rakan Nagaiah, Gobinath Jayasooryam dan Gopinath Myalvaganam - melakukan jenayah bersenjata di negara ini.
Selepas tembakan itu polis berkata mereka menemui tiga senjata api dari tempat kejadian. Bagaimanapun, keluarga lima remaja berkenaan enggan menerima cerita disampaikan polis dan media.
Bagi menuntut jawapan, mereka memfailkan saman terhadap Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar, Abdul Rahim, pegawai kanan polis DSP Mohd Naim Asnawi dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang.
"Sehingga hari ini, kita tidak tahu apa yang telah berlaku, dan kami hanya dimaklumkan mengenai kematian anak kami selepas tujuh jam," kata Murugesan V Ramasamy, bapa kepada Suresh.
Bercakap pada sidang akhbar di Sungai Dua, Pulau Pinang hari ini, Murugesan berkata beliau memfailkan kes itu kerana mahu keadilan.
Ibu Rakan, Tanaletchimi S. Kuthaya berkata mereka yang bertanggungjawab perlu dibawa ke muka pengadilan.
"Anak saya meninggal dunia dan meninggalkan isteri dan anak perempuan kecil untuk menjaga diri mereka sendiri," katanya, dalam linangan air mata.
Thilagavathy Arunasalam, ibu Ramesh pula berkata "Adakah mereka (polis) dibenarkan dalam tindakan mereka?"
Sementara itu pemimpin Hindraf N Ganesan berkata pihak keluarga mahu mahkamah menentukan apa yang mereka anggap sebagai "satu ketidakadilan yang sangat serius" terhadap lima remaja itu.
"Mereka mempersoalkan kelakukan polis pada hari itu, adakah polis bertindak mengikut undang-undang negara ini.
"Adakah kejadian itu selaras dengan piawaian hak asasi manusia yang dijamin kepada setiap rakyat di negara ini?" Soal Ganesan pada sidang akhbar yang diadakan di pejabat NGO hak asasi manusia, Suaram.

