Kira-kira 100 penduduk Kampung Saujana, Batu 3, Shah Alam mengadakan demontrasi di depan pejabat Menteri Besar di Shah Alam pagi ini bagi membantah tindakan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) untuk merobohkan rumah mereka.

Demontrasi tersebut bermula jam 10 pagi dan berakhir 1 tengahari setelah mendapat jaminan dari Exco Perpaduan dan Pekerja Ladang negeri, Datuk Sivalingam Karrupiah bahawa MBSA akan menangguhkan operasi merobohkan rumah tersebut.

"Kami diberi tujuh hari mulai Jumaat lalu untuk merobohkan rumah dan jika gagal, MBSA boleh mengambil tindakan tanpa secarang notis selanjutnya. Kerosakan dan kerugian akan ditanggung sendiri oleh penduduk," katanya Penyelaras Penduduk Kampung Saujana, K Ramasamy ketika ditemui pagi tadi.

Sebelum itu beliau mewakili penduduk Kampung Saujana untuk menyerahkan memorandum kepada Menteri Besar, Datuk Seri Mohd Khir Toyo bagi membantah tindakan MBSA itu.

Ia diterima oleh Ketua Setiausaha Sulit Menteri Besar, Datuk Mohd Yusof. Kira-kira 50 anggota polis berpakaian seragam dan preman kelihatan berkawal di kawasan pejabat Menteri Besar.

"Ini adalah kali keempat kami mengadakan demontrasi seperti ini serta mengadakan beberapa siri rundingan dengan kerajaan negeri tetapi semuanya tidak berhasil. Mereka sekadar berjanji mahu membantu tetapi tidak membuat apa-apa," katanya.

Mahu jaminan bertulis

Meskipun Mohd Yusof berjanji untuk menyerahkan memorandum tersebut kepada Menteri Besar, penduduk mahukan jaminan secara bertulis kerana menurut mereka sudah banyak kali janji diberi tetapi tinggal harapan sahaja.

Penduduk berjanji mereka tidak akan bersurai selagi tidak mendapat jaminan bertulis Menteri Besar dan mereka sendiri mahu menemui Dr Mohd Khir untuk meminta beliau menangguhkan tindakan MBSA mahu melancarkan operasi merobohkan rumah mereka.

Mohd Yusof memberitahu, Menteri Besar tidak dapat menemui mereka kerana menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri yang sedang berlangsung dan keadaan ini menyebabkan penduduk menunggu di luar pagar bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) yang menempatkan pejabat Menteri Besar.

Seorang penduduk pula mencelah bahawa Menteri Besar hanya boleh ditemui semasa musim kempen pilihanraya.

Kira-kira jam 1 tengahari, ketika sidang dewan undangan negeri berhenti rehat, Sivalingam datang menemui penduduk dan memberi jaminan bahawa beliau akan meminta MBSA menangguhkan operasi merobohkan penduduk Kampung Saujana.

Dalam memorandum yang dihantar kepada Dr Mohd Khir, mereka mendakwa penduduk Kampung Saujana bukan setinggan sebaliknya ditempatkan semula di kawasan sedia ada sekarang ini oleh Kerajaan Selangor.

Menurut memorandum itu lagi, pada 4 Disember 1992, kerajaan negeri melalui State Secretary Selangor Incorporation (SSSI) dan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) menyerahkan kepada Syarikat Cekap Mesra Development Sdn Bhd untuk melaksanakan projek penempatan setinggan.

Flat gagal dibina

"Pada 25 Oktober dan 3 November lalu, MBSA telah mengeluarkan tawaran rumah kos rendah yang berharga RM42,000 dan RM38,000 di Bukit Subang kepada penduduk Kampung Saujana.

Bagaimanapun rumah flat empat tingkat yang dijanjikan itu tidak dibina." katanya.

Berikutan itu, penduduk menghantar memorandum kepada MBSA, Dr Mohd Khir dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ong Ka Ting bagi membantah apa yang mereka dakwa satu 'penipuan'.

Kata memorandum itu lagi, ketika penduduk sedang mengadakan perbincangan dengan pihak-pihak berkenaan, MBSA telah menampalkan notis merobohkan rumah penduduk Kampung Saujana.

Dalam memorandum itu juga penduduk menuntut rumah kos rendah dijual pada harga RM25,000 seunit dan bertempat di kawasan Batu Tiga atau di Shah Alam.

Mereka juga menuntut gantirugi yang sewajarnya kerana kegagalan rumah kos rendah itu dibina seperti yang dijanjikan pada Januari 1994.