'Tamatkan kolum Ridhuan Tee bukan sebab desakan Umno, MCA'
Penamatan kolum pendakwah kontroversi Ridhuan Tee Abdullah tiada kaitan dengan desakan mana-mana parti politik, kata Penasihat Eksekutif Editorial Sinar Harian Datuk Abdul Jalil Ali.
Katanya, setelah menjadi kolumnis paling lama di akhbar itu, mereka mahu memberi peluang pihak lain pula berkongsi pandangan.
“Dia tak kena drop tapi tiap-tiap kolumnis itu ada tempoh dia. Saya ingat Riduan yang paling lama. Dia sampai tiga tahun (jadi kolumnis).
“Yang lain itu dua tahun setengah dan kita beri (ruang itu) pada orang lain,” katanya ketika ditemui di sebuah forum berkaitan kebebasan media di Shah Alam hari ini.
Situasi sama, katanya, tulis melibatkan kolumnis lain sebelum ini seperti bekas pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Dr Aziz Bari.
Portal ISMA: Usaha jahat 'ultra kiasu'
Akhbar web Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), melalui lidah pengarangnya hari ini mendakwa mendapat maklumat bahawa Ridhuan tidak lagi dibenar menulis artikel dalam akhbar itu.
Ismaweb mendakwa, pihaknya dimaklumkan apa yang berlaku disebabkan larangan pihak atasan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) tempat beliau mengajar.
Malah, dakwanya, Ridhuan bukan sahaja tidak boleh menulis dalam akhbar atau portal atas talian sahaja, malah dilarang memberi apa-apa komen.
Kali terakhir pendakwah bebas dan pengamat politik itu menulis dalam harian itu pada 5 September lalu dengan tajuk “Di mana kekuatan MCA”.
Ketika penyertaannya dalam MCA tidak diketahui ramai, Ridhuan pada 30 Mei lalu mencuri perhatian selepas mengumumkan keluar parti sebagai tanda protes pada penentangan berterusan parti itu terhadap hudud.
Ismaweb membuat spekulasi bahawa Ridhuan ‘diharamkan’ menulis apabila mempersoalkan mengenai semangat kemerdekaan dan patriotisme atlet sukan yang didakwa lebih banyak mengejar wang dan ganjaran.
Justeru, dakwanya terdapat “tangan-tangan ghaib” yang berusaha untuk menutup mulut Ridhuan dengan memberi tekanan kepada pihak pengurusan universiti tempat beliau mengajar.
“Usaha jahat ini pastinya daripada mereka yang dicop oleh Ridhuan Tee sebagai ‘ultra kiasu’.
“Puak ultra kiasu ini pula bagi Ridhuan Tee bukan sahaja parti rasis dan cauvinis DAP, tetapi juga yang berada dalam MCA, Gerakan dan MIC.
“Hatta, dalam Umno pun wujud ultra kiasu.
Diberi kebebasan menulis
Sementara itu, menjawab soalan pemberita, Jalil juga berkata Ridhwan sentiasa diberi kebebasan ketika menulis.
“Tak ada kaitan dengan desakan MCA, desakan Umno atau apa-apa.
“Yang tak boleh drop saya punya kolum saja,” guraunya sambil ketawa.
Jalil menulis kolumnya setiap Khamis di Sinar Harian.
Sementara itu, seorang jurucakap UniSZA ketika dihubungi Malaysiakini enggan mengulas isu itu buat masa ini.

