Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria hari ini mengesahkan bahawa beliau bersama dua hakim lain telah diberi lanjutan enam bulan untuk terus berkhidmat.

Arifin berkata dua lagi hakim yang juga diberikan lanjutan itu adalah Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif dan Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin.

Umur persaraan mandatori hakim adalah 66 tahun tetapi ada kalanya, tempoh perkhidmatan mereka boleh dilanjutkan oleh Yang di Pertuan Agong.

Hakim Arifin akangenap berusia 66 tahun pada 1 Oktober depan dan dengan lanjutan enam bulan, hari terakhir beliau kini adalah pada 30 Mac, 2017.

Hakim Raus akan berusia 66 tahun pada 4 Feb tahun depan, manakala Hakim Zulkefli pula mencapai usia sama pada 28 Mac tahun depan.

Bercakap kepada pemberita pada majlis pelancaran Persidangan Undang-Undang Antarabangsa Malaysia 2016, ketua hakim negara itu berkata, beliau akan menggunakan lanjutan enam bulan untuk merancang pelan penggantian kepada hakim yang bakal menggantikannya.

"Saya akan terus berkhidmat tetapi saya tidak boleh dedahkan siapa penggantinya kerana ini adalah sulit. Ia juga bergantung kepada Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman," katanya.

[Baca berita penuh]