BERSIH: Ada 'tangan tersembunyi' cuba gagalkan himpunan
Kumpulan pemantau pilihan raya BERSIH percaya terdapat tangan tersembunyi yang bertindak menggunakan semua sumber-sumber negeara untuk menghalang himpunan BERSIH 5 walaupun ia belum bermula.
Ini, selepas bendahari BERSIH, Thomas Fann tidak dibenarkan ke Sarawak pagi ini dan diarahkan berpatah balik ke Kuala Lumpur dengan pesawat yang sama.
Fann dijadualkan menghadiri beberapa siri mesyuarat dengan kumpulan-kumpulan tempatan di Miri, Bintulu dan Sibu sebagai persiapan untuk perhimpunan BERSIH 5.
"Jabatan Imigresen bertindak bertentangan dengan semangat Perlembagaan Persekutuan yang membenarkan kebebasan bergerak dan menjamin hak untuk perbezaan pendapat melalui protes aman," kata BERSIH dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas mengenai kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar yang mengumumkan bahawa Pengerusi BERSIH Maria Chin Abdullah akan disiasat kerana "cuba menggulingkan kerajaan", BERSIH, bagaimanapun, beranggapan ini adalah sesuatu yang "amat ganjil".
"Ini adalah amat ganjil, antara tuntutan utama BERSIH 5 adalah untuk mengukuhkan sistem demokrasi berparlimen yang kini pada paras terendah di Malaysia.
"Daripada mengarahkan semua sumber negara menentang BERSIH 5, kami menyeru semua institusi kerajaan bertindak mengikut peruntukan undang-undang yang membenarkan perhimpunan aman, prinsip yang sentiasa ditekankan oleh BERSIH.
Institusi kerajaan, kata gabungan itu, mesti bertindak untuk kepentingan rakyat dan bukannya menentang mereka.

