Shahrir: Timbalan ketua tiada kuasa sehinggalah rayuan saya diputuskan
Ketua Umno Bahagian Lembah Pantai Datuk Shahrir Abdul Jalil mendakwa beliau tidak tahu menahu mengenai tindakan timbalannya Yusri Ahmad menukar Setiausaha Ahmad Bahar dan Ketua Penerangan Mohyidin Mohamad bahagian tersebut.
Ketua Umno Bahagian Lembah Pantai Datuk Shahrir Abdul Jalil mendakwa beliau tidak tahu menahu mengenai tindakan timbalannya Yusri Ahmad menukar Setiausaha Ahmad Bahar dan Ketua Penerangan Mohyidin Mohamad bahagian tersebut.
Shahrir berkata, tindakan tersebut dibuat secara bersendirian oleh Yusri dan beliau tidak diberitahu mengenai perkara tersebut.
"Saya terkejut dengan dengan penukaran tersebut kerana saya masih dalam peringkat menunggu keputusan rayuan dari Panel Rayuan Umno. Ini bermakna beliau (Yusri) tidak boleh membuat tindakan itu sehingga kes saya diputuskan.
"Tindakan Yusri itu boleh mengundang perpecahan dalam Umno Lembah Pantai. Apa akan berlaku jika Panel Rayuan Umno memutuskan saya tidak bersalah dan saya melantik balik kedua-duanya ke jawatan asal mereka?," katanya ketika dihubungi hari ini.
Shahrir digantung keahliannya selama sepenggal atau tiga tahun oleh Lembaga Disiplin Umno kerana didapati terlibat dengan politik wang semasa pemilihan jawatan tersebut tahun lalu.
Bagaimanapun, katanya beliau sudah meminta Ahmad dan Mohyidin menulis surat kepada Jawatankuasa Pengurusan Umno untuk memaklumkan perkara tersebut bagi tindakan lanjut.
Semalam Yusri melantik Setiausaha Umno Cawangan Bangsar Baru, Sazali Kamilan sebagai Setiausaha Bahagian yang baru bagi menggantikan Ahmad manakala pengganti Mohyidin belum diumumkan.
Bagaimanapun, penukaran tersebut menimbulkan tandatanya kerana Shahril selaku ketua bahagian tersebut, masih dalam proses menunggu rayuan dari Panel Rayuan Umno.
Hubungan dingin dengan timbalan
Shahrir berkata, sejak menjadi ketua Umno bahagian Julai lalu, hubungannya dengan Yusri berada dalam keadaan dingin dan tidak begitu mesra.
"Kami jarang bercakap, melainkan perkara yang perlu sahaja. Yusri tidak membuat sebarang laporan tentang perkembangan Umno ini kepada saya," katanya lagi.
Shahrir berkata, tindakan tersebut boleh mengundang kecelaruan dalam Umno bahagian Lembah Pantai berikutan ketidaksabaran Yusri mahu meletakkan orangnya di bahagian itu.
"Saya meminta Yusri bersabar dan menunggu sehingga keputusan Panel Rayuan Umno terhadap rayuan penggantungan saya diumumkan," katanya lagi.
Katanya, jika rayuannya ditolak, Yusri boleh melakukan apa sahaja di bahagian Lembah Pantai termasuk melakukan perubahan yang sesuai dengan kehendaknya.
Menurut Shahrir beliau tidak akan menghubungi Yusri untuk mendapatkan penjelasan berhubung penukaran setiausaha dan ketua penerangan bahagian Lembah Pantai melainkan timbalannya itu menghubunginya.
Sementara itu, Setiausaha Agung Umno, Datuk Radzi Sheikh Ahmad dilaporkan berkata, timbalan ketua hanya akan melaksanakan tugas ketua mereka, bukannya memangku jawatan itu.
Sehubungan itu, katanya timbalan ketua bahagian berkenaan tidak berkuasa untuk membuat perlantikan baru bagi jawatan seperti setiausaha, setiausaha kerja dan bendahari bahagian berkenaan.

