Teng tidak dapat hadiri sidang DUN Sgor tahun ini
Terjemahan Penggantungan lima hari ke atas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) DAP Kawasan Sungai Pinang, Teng Chang Khim, mengakibatkan beliau tidak dapat menghadiri persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) sepanjang tahun ini.
Terjemahan Penggantungan lima hari ke atas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) DAP Kawasan Sungai Pinang, Teng Chang Khim, mengakibatkan beliau tidak dapat menghadiri persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) sepanjang tahun ini.
Ini bermakna hanya seorang sahaja Adun DAP Ng Suee Lin (Sekinchan) yang akan menghadiri persidangan DUN Selangor bagi tahun ini.
Speaker Datuk Onn Ismail telah menggantung Teng daripada menghadiri sidang DUN Selangor, berkuatkuasa semalam, kerana didakwa telah menghina dewan dengan membuang buku peraturan tetap dewan ke dalam tong sampah.
Teng yang juga Ketua Pembangkang di DUN Selangor bertindak demikian kerana tidak berpuas hati apabila Onn menolak usul tidak percaya yang dikemukakannya pada 9 April lalu terhadap Menteri Besar Selangor kerana mencemarkan nama baik Selangor.
"Hari pertama penggantungan saya adalah semalam. Sidang hari ini telah dibatalkan, jadi tempoh penggantungan saya tinggal empat hari lagi. Sidang akan datang pada bulan Julai atau Ogos, dijadualkan selama dua hari, tetapi biasanya sidang dewan selesai selepas satu hari," katanya ketika dihubungi hari ini.
"Kemudian, sidang tiga hari dijadualkan untuk pembentangan bajet. Ia biasanya selesai dalam masa dua hari. Jadi, besar kemungkinan dewan akan bersidang untuk tiga hari sahaja lagi tahun ini. Ini bermakna tempoh penggantungan saya akan berlanjutan sehingga tahun depan," tambahnya.
Semalam dewan membahaskan ucapan usul menyembah ucapan terima kasih ke atas titah ucapan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah ketika merasmikan sidang DUN di Shah Alam Sabtu lalu.
'Tidak endahkan peraturan'
Separuh hari persidangan semalam digunakan oleh Teng untuk berucap dan membangkitkan pelbagai isu berkaitan dengan dakwaan rasuah yang berlaku di Selangor.
Teng bagaimanapun mengakui bahawa beliau telah hilang sabar apabila speaker menolak notis usul yang dikemukakan sebelum ini.
"Saya mengemukakan (notis) usul itu secara bertulis pada 9 April lalu mengikut peraturan 26 dan 27 Peraturan Tetap dalam tempoh 14 hari sepertimana yang disyaratkan. Speaker menjawabnya pada 20 April, dengan menolak (notis usul) itu di bawah peraturan 17(7)(a).
"Peraturan 17 adalah mengenai usul tergempar, tetapi usul saya adalah usul biasa. Beliau tidak mempunyai kuasa untuk menolak usul itu, kerana ia sepatutnya diputuskan oleh ahli-ahli dewan. Beliau telah menyalahgunakan kuasa dan tidak mengendahkan peraturan. Saya telah bangkitkannya dalam ucapan saya (semalam)," jelasnya.
Teng mendakwa, sewaktu menyampaikan ucapannya selama 30 minit, beliau telah diejek dan diganggu oleh wakil rakyat Barisan Nasional.
"Berikutan keputusan Speaker tersebut, maka saya tidak mempunyai pilihan, selain mencadangkan supaya usul saya itu dipinda. Saya tidak dibenarkan berbuat demikian dan seterusnya diganggu oleh ahli-ahli dewan yang lain dengan bantuan Speaker.
"Mereka berkata ucapan saya lari dari tajuk, tetapi ianya tidak begitu. Dalam ucapan dasar, kita boleh membangkitkan apa-apa sahaja. Dakwaan yang saya mengambil masa terlalu panjang untuk berucap, adalah tidak wajar, kerana di Pulau Pinang, contohnya, tiada had masa ditetapkan untuk ahli dewan (berucap)," katanya.
Tempoh penggantungan dilanjutkan
Teng berkata, beliau menegur Speaker supaya menghormati peraturan, sambil memegang buku peraturan tetap.
"Bila beliau enggan, saya kata tiada gunanya saya berada di sana memandangkan saya tidak dibenarkan untuk bercakap dan peraturan dalam buku tersebut tidak dihormati," jelas Teng.
Ketika membuang buku itu ke dalam tong sampah berdekatan, beliau telah dikenakan perintah penggantungan selama tiga hari. Bagaimanapun, tempoh tersebut kemudiannya dilanjutkan kepada lima hari.
"Malah, yang itupun, Speaker tidak mengikut peraturan. Menurut Perintah Tetap, Speaker tidak ada kuasa untuk menukar keputusannya," tegasnya.
Teng juga akan dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan, yang dipengerusikan oleh Speaker dan dianggotai lima Adun. Tiada Adun pembangkang dalam jawatankuasa tersebut.
"Peraturan (Tetap) menyebut setiap jawatankuasa dewan mesti mempunyai seorang wakil pembangkang," katanya.
Sementara itu, DAP Selangor mengutuk penggantungan Teng itu. Manakala Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo pula dilaporkan berkata, beliau kesal dengan tindakan Teng itu.

