Keluarga mahu bedah siasat kedua bagi tentukan punca kematian
Mengesyaki perbuatan khianat, ahli keluarga suspek yang ditembak mati oleh polis bulan lalu memfailkan permohonan untuk menggali kubur supaya bedah siasat kedua dapat dijalankan ke atas mayat berkenaan.
Peguam M Visvanathan berkata dua permohonan inkues telah difailkan untuk Mohammad Shahril Sugumaran Abdullah dan S Uvarajan di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 1 September lalu.
Ini kerana keluarga kedua-dua lelaki berkenaan tidak berpuas hati dengan keadaan mayat berkenaan yang didapati mempunyai luka lain selain daripada kecederaan peluru.
"Kami percaya menggali kubur Shahril untuk mengeluarkan mayat akan menjelaskan punca kematiannya.
"Dalam kes Uvarajan (kanan), mayat telah dibakar, tidak ada permohonan (untuk) post mortem kedua,” kata Visvanathan pada sidang media yang diadakan di ibu pejabat Suara Rakyat Malaysia (Suaram) di Petaling Jaya hari ini.
Menurutnya, inkues berhubung kes tembakan kedua-dua lelaki itu akan menjelaskan bagaimana insiden tembak-menembak ini berlaku.
Visvanathan juga mengesahkan bahawa beliau telah memohon supaya kedua-dua kes berkenaan disatukan untuk didengar oleh seorang hakim.
Kedua-dua mereka terbunuh dalam kejadian tembak-menembak dengan polis di Lebuhraya Selayang-Kepong pada awal pagi 19 Ogos lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Selangor, Mohd Adnan Abdullah sebelum ini berkata, kejadian itu berlaku selepas polis mendapati kereta mereka dipandu dalam keadaan mencurigakan.
Polis mula mengejar selepas kereta berkenaan cuba merempuh sekatan jalan raya.
Kedua-dua suspek kemudian didakwa melepaskan tembakan ke arah polis. Ini menyaksikan polis membalas tembakan itu sehingga menyebabkan kematian mereka.
Mohd Adnan berkata polis percaya suspek terlibat dalam empat kes pembunuhan yang dilaporkan di sekitar Lembah Klang.

