Kajian dan pemantauan terhadap 122 ekor nyamuk yang ditangkap dari kawasan berisiko tinggi sehingga semalam mendapati belum ada nyamuk Aedes yang positif membawa Zika, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau dalam satu kenyataan hari ini berkata Kementerian Kesihatan (KKM) sentiasa komited dalam menangani ancaman jangkitan virus Zika dan Denggi di negara ini.

"Tanggungjawab membasmi jangkitan ini adalah tanggungjawab semua bagi memastikan tiada tempat-tempat pembiakan nyamuk Aedes di kawasan persekitaran. Tiada Aedes, Tiada Zika dan Denggi," katanya.

Dr Noor Hisham berkata kes yang disahkan dijangkiti Zika masih enam sehingga semalam.

Katanya pemantauan KKM mulai Jun 2015 sehingga kini mendapati sebanyak 1,058 kes mempunyai tanda-tanda Zika namun kesemuanya mempunyai keputusan ujian yang negatif.

Beliau berkata ujian genom yang telah dilakukan oleh Pakar Virologi di Unit Virologi di Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) ke atas virus Zika bagi lima daripada enam kes yang positif menunjukkan ia dari ' baka Asia'.

Jujukan genom virus Zika bagi kes pertama di Selangor dan kes ketiga yang melibatkan wanita hamil di Johor menyerupai French Polynesia seperti di Singapura, katanya.

Manakala jujukan genom bagi kes kedua di Sabah dan kes adik-beradik iaitu kes kelima dari Miri, Sarawak dan keenam dari Kuala Lumpur menunjukkan ia menyerupai jujukan genom setempat (Micronesia).

- Bernama