Seorang bekas pengurus kilang didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas
pertuduhan memalsukan dokumen ijazah, lima tahun lalu.
Hakim Mardihah Harullah menjatuhi hukuman itu terhadap Maskim Abdullah, 59, dan memerintahkannya dipenjara 10 bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Maskim didakwa memalsukan dokumen Ijazah Sarjana Muda atas namanya bagi tujuan memohon kerja sebagai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif di Kolej Islam Antarabangsa, Taman Batu Muda, di Kuala Lumpur pada 30 September 2011.
Dia didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Mohd Buhori Wan Mohd manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
- Bernama
