Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Penduduk KL lebih ramai dari Bangsar, TTDI'
Diterbitkan:  Sep 22, 2016 7:18 PM
Dikemaskini: 11:31 AM

Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil berkata beliau terkejut dengan kenyataan Datuk Bandar Kuala Lumpur yang mengatakan penduduk di ibu negara bersetuju dengan kenaikan car parkir.

Fahmi berkata penduduk yang terjejas dengan kenaikan itu bukan setakat tinggal di Bangsar atau Taman Tun Dr Ismail (TTDI), malah turut meliputi kawasan-kawasan lain.

"Bagaimana pula pendapat penduduk di Jinjang, di Taman Seri Sentosa, di Taman OUG, di Keramat Wangsa, di Taman Dato Senu, di Danau Kota, dan begitu banyak lagi kawasan di Kuala Lumpur?

"Apakah Datuk Bandar juga mendapat maklumbalas serupa dari semua penduduk?," Soalnya dalam kenyataan media hari ini.

Malaysiakini hari ini melaporkan Datuk Mohd Amin Nordin Abdul Aziz sebagai berkata orang ramai yang tinggal di ibu kota menyokong kadar baru tempat letak kereta.

Katanya, maklum balas itu diperoleh daripada penduduk di sekitar kawasan Bangsar dan Taman Tun Dr Ismail.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata sejak awal beliau menggesa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengadakan sesi pertemuan dengan penduduk (townhall) agar suara mereka diambil kira dalam pelaksanaan sesuatu dasar.

"Malangnya, hingga ke hari ini saya tidak dapat melihat komitmen pihak DBKL dalam melaksanakan langkah reformasi institusi seperti ini," katanya.

Justeru beliau menggesa Datuk Bandar dan DBKL mengumumkan pemberhentian sementara (moratorium) kenaikan caj parkir sehingga mengadakan siri pertemuan dan mendapat maklum balas orang ramai.

DBKL sebelum ini meningkatkan kadar parkir kepada hampir 150 peratus di kawasan pusat perniagaan (CBD) mulai 8 Julai lalu.

Berikutan bantahan orang ramai, DBKL kemudiannya menyelaraskan kadar letak kereta mengikut jam di kawasan-kawasan berkenaan dari RM2 sejam kepada RM1.50 untuk jam yang pertama, dan RM3 kepada RM2.50 untuk jam kedua dan seterusnya.

Lihat Komen
ADS