Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN Tidak mudah menjadi Malaysiakini sebenarnya. Di pihak kerajaan, sesetengah mereka mendakwa portal ini alat pembangkang.

Pada masa sama, di pihak pembangkang ada yang menganggap Malaysiakini instrumen perang saraf kerajaan.

Di tengah dua situasi itu ada satu lagi persepsi - Malaysiakini menjadi alat "musuh kita" - merujuk kepada mana-mana saja pihak yang menyebelahi sesuatu kelompok. Maksudnya portal ini bukan "kita" tetapi "mereka".

Akhirnya tanpa diketahui ramai, Malaysiakini berdepan hakikat tidak mempunyai 'rakan' kerana sentiasa dicurigai kalaupun tidak dimusuhi.

Dalam keadaan begitulah secara lucu PAS menuding jari - sama ada secara langsung atau bermadah - menuduh Malaysiakini adalah alat propaganda DAP.
Semalam Malaysiakini menyiarkan ulasan mengenai kekosongan jawatan mursyidul am PAS ekoran pulangnya ke rahmatullah Datuk Dr Haron Din.

Sudah sifatnya pun ulasan berbentuk spekulasi, maka beberapa nama ditimbulkan untuk mengisi kekosongan jawatan penting berkenaan. Antaranya ialah Naib Ketua al-Ittihaad al-'Aalami li' Ulama'i al-Muslimin‎ (Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia) Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Kata kunci ialah wibawa

Ketika Hadi masih berkhidmat sebagai presiden PAS, penulis artikel itu melihat ada ruang untuk bekas menteri besar Terengganu itu menjawat tugas sebagai mursyidul am parti berkenaan.

Ia bukan sesuatu yang luar biasa. Kredibiliti dan kepimpinan Hadi dalam PAS ketika ini dilihat begitu dominan dan amat dihormati. Ia sesuai untuk seorang tokoh berjawatan mursyidul am.

Kewibawaan adalah kata kunci untuk jawatan penting berkenaan. Lihat saja tokoh terdahulu yang berada di situ. Ia dimulakan oleh tokoh yang pernah mengalahkan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam pilihan raya, allahyarham Yusuf Abdullah Rawa.

Kemudian sepeninggalan Yusuf selepas beliau meninggal dunia pada hujung April 2000 jawatan itu digantikan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga menteri besar Kelantan.

Kedua-dua mereka adalah nama besar dalam PAS kerana ketokohan serta kewibawaan masing-masing. Hidup serba sederhana, mudah didekati sesiapa saja dan disegani kawan dan lawan.

Kemudian selepas Nik Aziz meninggal dunia pada 12 Februari 2015 jawatan mursyidul am PAS diisi Haron. Untuk kali pertama jawatan setinggi itu tidak diisi seorang tokoh bergelar "Tuan Guru".

Namun Haron tetap ada karisma tersendiri. Sebagai ahli akademik dengan status doktor falsafah, menjadi pelopor kepada pusat rawatan Islam dan penceramah disegani, Haron tidak dirujuk sebagai "Tuan Guru" namun tetap disegani pelbagai pihak.

Kini pada PAS orang ramai yang tertanya-tanya: Siapa selepas Haron. Ia adalah perkara biasa dan antara lain menunjukkan sikap masyarakat yang cakna kepada parti itu.

Bukan mesti betul

Ketika tiada tokoh atasan peringkat nasional sering dirujuk dengan panggilan Tok Guru selain Hadi, maka bukanlah asing untuk sesiapa pun terfikirkan beliau menjadi mursyidul am.

Tiba-tiba PAS marahkan Malaysiakini kerana memuatkan tulisan mencadangkan kemungkinan Hadi menggantikan Haron.

Dan kemarahan itu menjadi lelucon apabila portal itu secara tersirat dikaitkan dengan DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH) oleh pegawai Pusat Penyelidikan PAS.

Beberapa peruntukan dalam perlembagaan PAS kemudian dipetik. Baguslah juga kerana sekurang-kurangnya pembaca yang tidak biasa dengan PAS boleh mendapat maklumat mengenai dasar parti berkenaan.

Pada masa sama, isu yang sebenar kurang disantuni. Ia adalah tentang spekulasi siapa pengganti Haron.

Pada suatu majlis Haron, beliau pernah berjenaka di sela-sela ceramahnya dengan kata-kata: "... di ramalkan hujan di beberapa tempat di sana sini".

Beliau bercakap mengenai ramalan yang tentunya tidak terikat dengan hukum "mesti betul".

Justeru spekulasi itu, begitulah. Mungkin salah, dan belum tentu tak tepat.

Isu kedua yang mungkin dapat disedari pada PAS ketika ini ialah, rupa-rupanya tiada tokoh yang benar-benar menonjol selepas Haron - selain Hadi.

Memanglah PAS akan kata mereka mempunyai ramai pemimpin yang layak. PAS adalah parti yang lucu dan gagal akbar jika secara terbuka mengakui mereka kekeringan pemimpin pelapis.

Ada ramai ulama dalam PAS, memang. Cuma di mata orang luar PAS ia dilihat tidak ramai.

Ramai doktor, bukan doktor

PAS juga ada ramai tokoh dengan kelulusan ijazah doktor falsafah. Selain Datuk Dr Mahfodz Mohamed yang kini dilantik sebagai ketua Dewan Ulama PAS, ada Datuk Dr Johari Mat, Datuk Dr Nik Zawawi Muhammad Salleh, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali dan Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan.

Selain itu ada juga tokoh lain bergelar doktor yang tidak kurang hebatnya. Siapa yang dapat mengetepikan kehebatan orang seperti Dr Mohd Zuhdi Marzuki?

Tidak dilupakan dalam senarai ahli jawatankuasa pusat PAS ialah dua lagi tokoh bergelar doktor iaitu Dr Mohd Fuad Mohd Salleh dan Dr Ali Akbar Gulasan.

Jika itu belum cukup meyakinkan PAS tentu berbangga dengan tokoh seperti Dr Ridhuan Mohd Noor. Tidak ketinggalan, Mokhtar Senik, Zaharuddin Muhammad, Norazli Musa, Razman Zakaria, Nik Abduh Nik Aziz dan Nasrudin Hassan.

Selepas Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, rasanya mereka adalah nama-nama tempat rakyat Malaysia menyandarkan harapan dan masa depan.

Dengan menyebut beberapa nama di atas, adakah tulisan ini akan dianggap cuba campur tangan atau mengadu domba?

Memanglah sesuatu saranan atau cadangan boleh nampak seperti perbuatan campur tangan, tetapi harus diingat tidak semua bersifat begitu.

Seorang tokoh veteran PAS Subky Latif sendiri adalah antara orang yang gemar menulis, memberi pandangan atau idea tentang banyak perkara. Beliau tidak mengehadkan pandangannya kepada PAS semata-mata.

Adakah PAS menganggap Subky mengadu domba?

Jangan benci kerana berkata

Memusuhi saranan, idea dan lontaran pendapat daripada pihak luar boleh dilihat sebagai tindakan PAS menanam cerucuk dan tembok besi untuk memisahkan parti itu dengan masyarakat.

Sesuatu saranan mungkin bersifat kritikan tetapi perlukah parti yang ada istilah "Islam" pada namanya melarang seseorang memberi pandangan. Rasanya ia tidak menjejaskan akidah pun.

Dan saranan itu - bukannya kritikan pun - walau mungkin bersifat mengkitik atau mengeji, bukankah ia juga boleh bermakna tanda sayang?

Ini antara masalah Malaysia. Tidak bersetuju pada sesuatu perkara selalu sangat ditafsir sebagai memusuhi. Misalnya, seorang guru yang tidak sependapat dengan peraturan Jabatan Pendidikan Daerah akan dianggap pembangkang.

Memberi pandangan tidak semestinya kerana benci. Terlalu banyak contoh dan nukilan boleh diambil untuk menjelaskan bahawa berbeza pandangan bermakna membenci. Tidak sependapat bukan isyarat untuk bermusuh.

Kadang-kadang perselisihan faham berlaku kerana sayang. Itu yang mungkin kurang difahami PAS. Kecualilah PAS mentakrif "sayang" itu hanya dengan memuja dan memuji.

Atau teguran, pandangan dan kritikan mengikut definisi PAS adalah seakan-akan akhbar mereka, Harakah, iaitu "Untuk Ahli Saja".

Ia memang terpakai dan tepat jika PAS menganggap untuk menang dalam pilihan raya mereka hanya perlukan tanda pangkah daripada "ahli saja". Atau PAS kini tidak lagi mahu menang?


Hadi, Mahfodz pilihan terbaik PAS ganti Haron?
Jawatan mursyidul am: Pihak luar tidak perlu adu domba

Lihat Komen
ADS