Paling Popular
Terkini

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar hari ini memberitahu, pihaknya telah menangkap pemimpin Gerakan Merah, Mohamad Ali Baharom atau Ali Tinju.

Khalid juga berkata, pihaknya telah merakamkan kenyataan serta membebaskan Ali dengan jaminan polis ekoran 'ugutannya' terhadap Pengerusi BERSIH 2.0 Maria Chin Abdullah.

Sehubungan itu, Khalid memberi amaran kepada mana-mana pihak supaya tidak menuduh polis mengamalkan pilih kasih.

"Kita dah tangkap Ali Tinju itu. Dan kita dah bebaskan dia dengan jaminan. Sama dengan (MP Jelutong) Jeff Ooi.

"Tindakannya sama. Tak ada pilih kasih. Apabila kita memanggil Ali Tinju, dia cepat datang. Saya panggil dia pukul 8 pagi, 8.30 pagi dia dah datang.

"Dia terus serah diri, tangkap dia, rakam percakapan dia dan bebaskan dia dengan jaminan selepas itu. Sama dengan Jeff Ooi dan lain-lain.

"Jangan cuba nak menuduh kita pilih kasih dan sebagainya. Kalau tak tahu, tanya dulu. Jangan buat tuduhan tak berasas," tegasnya pada sidang media selepas merasmikan program “1Aman Week: Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada” di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan pemberita berhubung dakwaan pihak yang mempertikaikan polis yang tidak menangkap Ali Tinju ekoran 'ugutan' terhadap Maria.

Ali Tinju sebelum ini dilaporkan mengeluarkan ugutan terhadap Maria.

Beliau dipetik sebagai berkata "Maria tidak akan berjalan di atas bumi" berikutan perhimpunan BERSIH 5 akan diadakan pada 19 November ini.

Perkara itu sebaliknya dinafikan oleh Ali yang kemudiannya mengatakan kenyataannya disalah petik.

Bagaimanapun portal berita FMT kemudian menyiarkan rakaman selepas Ali mendakwa beliau disalah petik berhubung dakwaan ‘ugutan’ itu yang kini sedang disiasat oleh pihak polis.

Sementara itu, ditanya mengenai perkembangan siasatan terhadap anggota parlimen Langkawi Datuk Nawawi Ahmad yang mengaitkan 'Malaysian Official 1' (MO1) dengan Yang di-Pertuan Agong, Khalid berkata pihaknya telah menyerahkan kertas siasatan kepada Peguam Negara.

"Kertas siasatan kita dah kemukakan pada peguam negara," katanya ringkas.

Lihat Komen
ADS