BERITA Malaysiakini

JAIS: Jajaran LRT3 tak libatkan tanah kubur Islam Simpang Lima

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Pelaksanaan projek jajaran Transit Aliran Ringan Laluan 3 (LRT3) dari Bandar Utama ke Johan Setia, tidak melibatkan tapak Tanah Perkuburan Islam Simpang Lima, Klang, kata Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Haris Kasim.

Beliau berkata perkara itu dimaklumkan kepada pihaknya oleh pihak konsesi dalam satu perbincangan khas di Pejabat Agama Islam Daerah Klang semalam (22 September).

"Salah faham berlaku apabila pihak konsesi mula melaksanakan bancian terhadap beberapa buah tapak kubur orang Islam berhampiran kawasan jajaran seperti dalam pelan pelaksanaan projek.

"Pihak JAIS mengambil maklum bahawa tidak akan berlaku perpindahan kubur sebagaimana yang didakwa. Sebaliknya, bancian yang dilaksanakan adalah sebagai memenuhi keperluan pengurusan risiko pembangunan dan kajian impak ke atas projek LRT3," katanya dalam satu kenyataa di Shah Alam hari ini.

Selain itu, Haris berkata, ia bertujuan untuk mengenal pasti waris-waris mereka yang dikebumikan di tapak perkuburan itu sebagai data rujukan berkaitan dengan pengurusan risiko.

Katanya, JAIS dimaklumkan, pihak konsesi akan memanggil waris yang dikenal pasti daripada bancian yang telah dilaksanakan untuk diberi penerangan dan penjelasan.

"Untuk itu, kami menyeru kepada waris yang akan dikenal pasti oleh pihakkonsesi menerusi bancian supaya dapat memberi kerjasama yang baik kepada pihak konsesi.

"Sebarang permasalahan serta pertanyaan yang timbul berhubung perkara ini bolehlah dirujuk terus kepada Pejabat Agama Islam Daerah Klang," katanya.

Pada 18 September lepas, kira-kira 100 waris anggota keluarga yang dikebumikan di tanah perkuburan itu meminta agar jajaran projek LRT3 dialihkan kerana didakwa merentasi kawasan kubur berkenaan.

Mereka mendakwa, rentasan itu dilihat menyentuh sensitiviti penduduk berikutan ia akan menyebabkan 200 kubur di tanah perkuburan yang telah wujud kira-kira 100 tahun lepas terpaksa dialihkan.

Laluan jajaran LRT3 akan bermula dari Taman Eng Ann, melalui Jalan Meru, stesen bas Klang Jalan Batu 3, Jalan Pasar, Jambatan Kota, persimpangan Simpang Lima dan berakhir di Johan Setia (berhadapan Bandar Parklands) dan dijangka siap pada 31 Ogos 2020.

Projek itu merupakan sebahagian daripada Pelan Induk Nasional Pengangkutan Awam Darat ke arah pembangunan sistem pengangkutan awam darat yang cekap, berkesan, bersepadu dan mampan bagi meningkatkan tahap sosioekonomi dan kualiti hidup rakyat.

- Bernama