Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Dipukul, dibogel ibu tampil bela anak dituduh curang
Diterbitkan:  Sep 27, 2016 11:15 AM
Dikemaskini: 3:21 AM

Seorang ibu meminta pihak berkuasa bertindak terhadap individu yang memukul serta memalukan anak perempuannya selepas didakwa berlaku curang.

Wanita muda itu - dikatakan berusia pertengahan 20-an - juga dibogelkan dan kejadian dipercayai dalam sebuah bilik hotel itu dirakam.

Klip video itu kemudian tersebar di media sosial beberapa hari lalu.

Harian Metro melaporkan ibu wanita itu mendakwa anaknya cedera di beberapa bahagian badan.

Ada antara kecederaan itu terpaksa dijahit, seperti pada dahinya.

Ibu mangsa yang hanya dikenali sebagai Ani berkata dia dimaklumkan mengenai kejadian itu pada Sabtu lalu oleh anak keduanya yang tinggal di Kuala Lumpur.

Kata Ani sebagai ibu dia sangat sedih dengan kejadian itu apabila anaknya diaibkan.

"Anak saya tidak pernah menjalin hubungan cinta dengan suami orang dan sudah membuat laporan di Balai Polis Kubang Kerian Sabtu lalu," katanya dilaporkan Harian Metro.

Ani ditemui akhbar itu di rumahnya di Kampung Chicha Kubang Kerian, semalam.

Dalam kejadian itu seorang wanita muda berbogel dipukul, ditendang dan ditarik rambutnya oleh beberapa individu. Turut dirakam ialah seorang lelaki yang dipercayai pasangan wanita terbabit.

Netizen mendakwa wanita yang dipukul itu menjalin hubungan terlarang dengan suami rakan baiknya.

Lelaki terbabit turut dilihat dibelasah seorang wanita.

Kejadian itu dikatakan berlaku di sebuah hotel di pekan Sungai Golok pada Selasa lalu.

Harian Metro melaporkan seorang wanita Thailand melakukan serangan itu dan dia diupah seorang wanita lain dikenali sebagai Nadia.

Lihat Komen
ADS