Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Zahid: Syukur Hisham lebih popular 1 peratus
Diterbitkan:  Sep 28, 2016 8:04 PM
Dikemaskini: 12:10 PM

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi 'bersyukur' berikutan satu kajian mendapati Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dipilih sebagai calon pilihan utama untuk menggantikan perdana menteri.

Bagaimanapun di dalam undian tersebut Hishammuddin yang juga naib presiden Umno hanya mengatasi Zahid dengan peratusan terlalu kecil, iaitu sebanyak satu peratus.

“Alhamdulillah Hisham lebih popular 1 peratus,” kata Zahid seperti dilapor portal Majlis Ahli Parlimen BN (BNBBC).

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Multaqa Ekonomi Majlis Perundingan Islam (MPI) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Zahid diminta mengulas kajian dijalankan badan pemikir kerajaan negeri Selangor, Institut Darul Ehsan (IDE) di sekitar negeri itu bermula 26 hingga 30 Ogos lalu.

Kajian itu menunjukkan 32 peratus daripada responden menyokong Hishamuddin sebagai pengganti Datuk Seri Najib Razak manakala 31 peratus lagi memilih Zahid.

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin Abu Bakar berada di tangga ketiga dengan memperolehi 28 peratus undian.

Keputusan kaji selidik itu dibentangkan di sebuah hotel di Shah Alam hari ini oleh Timbalan Pengerusi IDE, Profesor Datuk Mohammad Redzuan Othman.

Pecahan lebih terperinci daripada responden mengikut lingkungan umur menunjukkan Hishamuddin paling popular di kalangan kumpulan berumur 31 hingga 50 tahun.

Zahid pula lebih popular di kalangan mereka yang berumur atas 51 tahun, manakala Khairy paling popular di kalangan belia berusia 21 hingga 30 tahun.

 

Lihat Komen
ADS