Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bubu buatan Risda Dungun berkesan tangkap kera
Diterbitkan:  Sep 29, 2016 5:03 PM
Dikemaskini: 9:05 AM

'Bubu darat' ciptaan sekumpulan kakitangan Risda Daerah Dungun didapati berjaya menangkap kera dan monyet liar yang memusnahkan pokok getah milik pekebun kecil dengan berkesan.

Ia dicipta selama dua bulan oleh lima petugas Risda berkenaan yang muncul sebagai naib johan dalam pertandingan sempena Hari Inovasi Risda peringkat Terengganu di Kuala Terengganu hari ini.

Ketua kumpulan tersebut, Mohd Zaifan Ghazali berkata hasil percubaan selama tiga bulan di kebun getah milik penduduk Kampung Serdang berjaya menangkap lebih 50 ekor kera dan monyet liar.

"Alhamdulillah setakat ini, tiada lagi aduan serangan kera dan monyet liar di situ dan ini membuktikan keberkesanan perangkap yang kami cipta untuk pertandingan inovasi tahun ini. 

"Kami juga akan membawa bubu darat ini ke peringkat akhir Pertandingan Inovasi Risda peringkat kebangsaan Oktober ini, sebelum ia didaftarkan di Perbadanan Harta Intelek Malaysia untuk tujuan pemasaran secara komersial," katanya kepada pemberita.

Mohd Zaifan berkata kos membuat perangkap itu bernilai RM150 yang boleh memuatkan 30 ekor kera dan monyet liar pada satu-satu masa.

"Kelebihan bubu darat ini ialah ia ringan, senang dibawa dan disimpan serta tidak mudah rosak dan tahan lama.

"Dua tahun lepas, kami sudah mencuba untuk mencipta perangkap sebegini namun ia gagal kerana kera dan monyet yang terperangkap masih boleh bolos," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS