Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kejayaan atlet sukan satu inspirasi untuk capai kejayaan bagi rakyat M'sia
Diterbitkan:  Sep 30, 2016 6:30 PM
Dikemaskini: 10:38 AM

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu ceritera kejayaan atlet Olimpik dan Paralimpik di Rio, Brazil dijadikan inspirasi kepada rakyat Malaysia bagi mencapai kejayaan dalam pelbagai bidang yang diceburi.

Beliau berkata komitmen, dedikasi dan kualiti yang ditunjukkan para wira dan wirawati negara boleh dijadikan rangsangan kepada rakyat untuk menggapai impian mereka.

"Sukan merupakan salah satu faktor penyatuan rakyat dan boleh menaikkan semangat rakyat sesebuah negara.

"Saya tahu kerana setiap kali saya tweet mengenai sukan, saya dapat respons berlipat ganda, tetapi kalau (tweet) politik, kurang (respons)," katanya ketika berucap pada majlis penghargaan wira dan wirawati Olimpik dan Paralimpik Rio 2016 anjuran Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.

Di majlis itu, perdana menteri turut menyampaikan sumbangan daripada Umno kepada 12 atlet yang mendapat pingat di Olimpik dan Paralimpik.

Pemenang pingat emas menerima RM30,000; RM20,000 bagi pingat perak dan RM10,000 bagi pemenang pingat gangsa.

Najib yang juga presiden Umno berkata parti itu juga mahu melakukan sesuatu dalam memberikan penghargaan kepada atlet negara kerana turut mempelopori dasar-dasar termasuk pembangunan sukan di negara ini.

"Sesiapa yang berjaya di bawah naungan dasar-dasar dipelopori Umno dan Barisan Nasional (BN), kejayaan itu adalah kerana dasar-dasar yang digubal Umno dan BN," katanya.

Beliau turut meminta setiap pihak untuk terus memberikan penghargaan kepada atlet negara yang berjaya mencapai kejayaan luar biasa.

- Bernama

Lihat Komen
ADS