Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Akaun PERMATA? Tengok DAP dulu, kata pembantu Rosmah
Diterbitkan:  Oct 1, 2016 10:38 PM
Dikemaskini: 2:44 PM

Pembantu kepada isteri Perdana Menteri, Datuk Rizal Mansor memberitahu ADUN Damansara Utama Yeo Bee Yin supaya melihat keadaan DAP terlebih dahulu sebelum mempersoalkan akaun program Permata Negara (PERMATA).

Ia susulan jemputan Rizal kepada ADUN DAP itu untuk melawat PERMATA, namun Yeo mahu melihat akaun program pendidikan awal kanak-kanak yang dibiayai oleh kerajaan itu.

Rizal dalam satu kenyataan hari ini berkata jemputan itu hanya membolehkan Yeo belajar mengenai PERMATA.

"Kami ingin merakamkan bahawa jemputan oleh PERMATA kepada YB Yeo Bee Yin adalah untuk mendidik (beliau tentang PERMATA) dan untuk beliau melawat pusat penjagaan awal kanak-kanak dan pusat pendidikan PERMATA.

"Kami menyedari bahawa Yeo seolah-olah hanya mahu meneliti buku-buku (akaun) PERMATA.

"Saya ingin menasihatkan Yeo pertamanya untuk melihat DAP di Pulau Pinang di mana ketua menteri sedang didakwa kerana rasuah," katanya.

Rizal juga berkata keghairahan Yeo adalah disebabkan beliau sebelum ini dilihat mengkhianati DAP kerana "memuji" PERMATA.

"Kita tahu hakikatnya bahawa menjadi seorang ahli politik DAP, sebarang pujian dibuat untuk memuji kerja PERMATA itu akan ditafsirkan sebagai satu tindakan pengkhianatan oleh rakan-rakan parti, terutama apabila penaung PERMATA adalah Rosmah," kata Rizal.

Yeo terdahulu berkata, program pendidikan awal kanak-kanak seperti yang dijalankan oleh PERMATA adalah penting dan ia tidak boleh diketepikan semata-mata kerana Rosmah adalah penaungnya.

Bagaimanapun, beliau turut mengkritik PERMATA kerana tidak mempunyai hala tuju strategik yang jelas walaupun dibiayai kerajaan.

Rizal sebelum ini memberikan reaksi secara positif kepada pendapat Yeo tetapi hari ini meneruskan serangannya.

Beliau merujuk projek kontroversi di bawah kerajaan Pulau Pinang yang diterajui DAP termasuk projek terowong dan jalan raya bernilai RM6.34 bilion dan projek di Taman Manggis.

Rizal berkata pembentangan laporan Jawatankuasa Kira-kira Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang terhadap projek terowong itu juga ditangguhkan dua kali.

"Jika dia serius mengenai akauntabiliti awam seperti yang didakwa, dia sendiri perlu berusaha untuk membolehkan projek-projek yang boleh dipersoalkan di Pulau Pinang dibuka untuk penelitian awam," katanya.

 

Lihat Komen
ADS