Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Anugerah khas Maal Hijrah pada Allahyarham Haron Din

Mursyidul Am PAS Allahyarham Datuk Dr Haron Din dianugerahkan Anugerah Khas Maal Hijrah manakala bekas Ketua Hakim Negara Tun Dr Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah kebangsaan pada sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1438H hari ini.

Allahyarham Haron dipilih sebagai penerima Anugerah Khas Maal Hijrah kali ini atas sumbangan besar beliau dalam memartabatkan Islam di peringkat nasional dan global.

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah menyampaikan hadiah berbentuk wang tunai RM100,000 dan sijil penghargaan kepada anak sulung allahyarham, Dr Huda Haron, pada majlis sambutan di Taman Ekspo Agropertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Serdang.

Allahyarham Haron, 76, meninggal dunia di Hospital Stanford, San Francisco, Amerika Syarikat pada 16 September lepas akibat komplikasi jantung.

Tuanku Abdul Halim juga menyampaikan hadiah berbentuk wang tunai RM100,000, medal dan sijil penghargaan kepada Ahmad Fairuz.

Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah berkenan berangkat pada majlis yang bertemakan 'Ukhuwah Islamiah Asas Penyatuan Ummah'.

Turut hadir menyaksikan penyampaian anugerah ialah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Ahmad Fairuz ketika ditemui pemberita berkata beliau mahu melihat lebih
banyak undang-undang negara yang tidak selaras dengan Islam disesuaikan dengan ajaran Islam dari semasa ke semasa.

Beliau berkata antara undang-undang yang boleh diselaraskan dengan ajaran Islam ialah undang-undang komersial dan undang-undang perniagaan.

"Malaysia sudah berjaya dengan perbankan Islam di mana hampir 70 peratus pelanggannya merupakan mereka yang bukan Islam.

"Apabila Malaysia berjaya memperkenalkan perbankan Islam, Malaysia turut kembangkan syiar Islam," katanya lagi.

Sementara itu Dr Huda ketika ditemui pemberita menyifatkan anugerah
berkenaan amat bermakna bagi keluarganya.

"Selain bermakna bagi keluarga kami, anugerah ini juga cukup bermakna bagi kesemua anak murid Allahyarham yang pernah menimba ilmu daripada ayahanda saya selama ini. Oleh itu saya berterima kasih kepada kerajaan," katanya.

-Bernama

Lihat Komen
ADS