Saifuddin: PAS tunjuk tanda positif

       

Penegasan PAS bahawa parti itu tidak akan bersama dengan Umno pada pilihan raya umum ke-14 nanti adalah perkembangan positif bagi membentuk pakatan pembangkang kuat.

Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (HARAPAN) Datuk Saifuddin Abdullah berkata kenyataan dibuat Pengarah Pilihan Raya PAS Datuk Mustafa Ali menunjukkan pembangkang semakin hampir mencapai persetujuan membentuk formula "satu lawan satu" menghadapi BN.

"Saya yakin semua ini adalah perkara yang memang dikehendaki oleh rakyat yang menolak BN.

"Rakyat mahu pembangkang bekerjasama sebagai gabungan yang besar dan kuat," katanya dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.

Malam tadi timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata perbincangannya dengan beberapa pimpinan atasan PAS menunjukkan parti itu berkongsi matlamat dengan pembangkang lain iaitu mengalahkan BN.

Justeru beliau memuji PAS kerana menegaskan parti berkenaan tidak berminat untuk mengadakan "muafakat" dengan Umno.

Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) memberitahu BN kini mungkin mempertimbangkan cadangan mengadakan pilihan raya umum lebih awal kerana keadaan pembangkang yang tidak bersatu.

"Tetapi kalau kita boleh duduk bersama-sama dan berbincang mencapai muafakat untuk wujudkan satu barisan pembangkang atau pakatan untuk pilihan raya, atau perjanjian kerjasama pilihan raya, makan BN perlu fikir semasak-masaknya untuk buat pilihan raya umum sekarang atau menundanya," kata beliau.

Perbincangan dengan Mustafa juga kata Muhyiddin menunjukkan rakyat bersedia untuk membuat perubahan dan mengalahkan BN.

Muhyddin berkata demikian ketika menyampaikan ucapan di majlis anjuran PAS Terengganu di Kemanan.

Tak kalah Umno tanpa PAS

Kata Saifuddin kesediaan PAS berbincang dengan BERSATU dan PKR boleh dianggap perkembangan baik ke arah pembentukan gabungan lawan BN yang lebih kuat.

Sementara itu, Mustafa ketika dihubungi Malaysiakini berkata PAS mengakui hanya satu cara dapat mengalahkan BN iaitu mengekalkan formula satu lawan satu di kawasan yang ditandingi Umno.

Katanya, pertandingan tiga penjuru hanya memberi manfaat kepada BN untuk terus memerintah negara.

“Dengan Umno kita memang lawan jadi satu lawan satu. Hal ini memang kena bincanglah macam mana pun. Kalau tiga penjuru hanya mengukuhkan Umno, tapi ia kena bincang dulu," katanya.

Mustafa menambah tumpuan kepada kawasan ditandingi Umno perlu kerana parti itu menjadi tunjang kepada BN.

"Tak boleh kalahkan BN tanpa kalahkan Umno. Umno mesti dikalahkan," katanya.

Namun di sebalik kenyataan itu Mustafa menjelaskan secara tradisinya bagi kerusi ditandingi Umno lawan yang diletakkan ialah PAS atau PKR.

Pada pilihan raya umum akan datang parti berasaskan Melayu sudah bertambah satu lagi iaitu BERSATU.

"Cadangan perbincangan itu (mewujudkan formula satu lawan satu) hanya tertumpu kepada BERSATU dan PKR saja, bukannya dengan Parti Amanah Negara (AMANAH) dan DAP.

“(Persefahaman itu) bukan dengan semua pembangkang. PAS tak bersedia berbincang dengan DAP dan AMANAH. Perbincangan ini hanya antara BERSATU dan PKR.

“AMANAH tak masuk perbincangan, not in the picture,” katanya.

Pada masa sama Mustafa menegaskan parti pembangkang tidak boleh mengalahkan Umno tanpa PAS.

“Tanpa PAS kamu tak boleh kalahkan Umno. Kamu mesti kerjasama dengan PAS, inilah perkara yang perlu dibincangkan.

“Perbincangan itu hanya cadangan, itu yang saya sebut jadi kena bincang,” katanya.

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda