Penduduk Segambut Dalam membantah cadangan pembinaan kondominium 20 tingkat yang akan dimajukan oleh sebuah syarikat dari Korea Selatan di kawasan tersebut, termasuk tapak Madrasatul Awaliah di situ yang dibina sejak 25 tahun lalu.

Pengerusi Madrasatul Awaliah, Buang Halim berkata, penduduk membantah kerana tidak yakin dengan tapak baru yang dijanjikan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) bagi menggantikan surau lama lama tersebut.

Katanya, penduduk telah mengadakan perbincangan dengan Ketua Penolong Pengarah Dakwah Jawi, Mahadzir Mohd Noor selepas mengadakan tunjuk perasaan di depan surau tersebut semalam, dan berjanji untuk mencari tapak baru.

Bagaimanapun, katanya, Mahadzir tidak dapat menyatakan di manakah tapak baru itu apabila berulangkali ditanya oleh penduduk yang menghadiri perjumpaan tersebut.

"Saya bimbang ini helah Jawi semata-mata supaya penduduk membenarkan Madrasatul Awaliah dirobohkan untuk membenarkan projek pembinaan kondominium tersebut.

"Sebenarnya tidak ada tanah wakaf lagi di Kampung Segambut Dalam. Malah untuk mencari tanah kosong juga amat sukar kerana pembangunan pesat di kawasan sekitar," katanya ketika ditemui hari ini.

Semalam kira-kira 200 penduduk Kampung Segambut Dalam mengadakan tunjuk perasaan membantah usaha pihak-pihak tertentu untuk merobohkan surau tersebut.

Menurut Buang lagi, jemaah bergilir-gilir menjaga kawasan surau tersebut bagi memastikan tiada pihak yang datang merobohkannya.

Pewaris tawar pampasan

Katanya, tapak surau itu termasuk dalam projek pembinaan kondominum 20 tingkat lengkap dengan kolam renang, kelab dan tempat letak kenderaan.

Menurutnya, syarikat tersebut telah membeli tapak surau seluas 2,000 kaki persegi dengan harga RM5.50 sekaki persegi daripada warisnya serta sudah mendapat kebenaran Jawi untuk membina kondomium di situ.

"Perkara ini disedari apabila Jawi mengarahkan mereka merobohkan surau tersebut sebelum akhir bulan ini untuk memberi laluan projek pembinaan kondominium itu.

"Ini kerana waris kepada pewakaf tapak surau tersebut telah menjualnya kepada syarikat tersebut untuk pembinaan kondominum di situ," katanya.

Pada 11 April lalu, Jawi menghantar notis kepada pentadbir surau, memberi tempoh dua minggu untuk mengalihkan surau tersebut untuk memberi laluan kepada projek tersebut. Ia ditandatangani Mahadzir.

"Kami tidak tahu apa-apa tentang penjualan tapak surat tersebut sehinggalah Jawi menghantar notis kepada pentadbir surau supaya mengalihkan tapak surau tersebut. Selepas disiasat barulah kami tahu pewarisnya telah menjual kepada syarikat tersebut," katanya.

Buang berkata, pewaris tersebut menawarkan pampasan RM132,000 untuk mengalihkan surau tersebut.

"Surau ini dibina pada tahun 1980 dengan perbelanjaan kira-kira RM30,000 di atas tanah wakaf seluas 2,000 kaki persegi untuk kemudahan penduduk Kampung Segambut Dalam beribadah," katanya.

Sementara itu imam surau tersebut, Nasir Mohaidin, 71, berkata jemaah di situ telah membuat laporan di Balai Polis Brickfields serta melaporkan perkara tersebut kepada Jawi untuk membantu menghalang surau tersebut dirobohkan.