Jemputan ADUN DAP lawat PERMATA tak pernah ditarik balik
Pembantu isteri perdana menteri, Datuk Rizal Mansor mengulangi pelawaannya terhadap ADUN Damansara Utama, Yeo Bee Yin untuk melawat pusat pendidikan awal bawah naungan Pusat Anak Permata Negara (PERMATA) di Putrajaya.
“Jemputan kepada anda melawat PERMATA tidak ditarik balik. Kami akan menerima anda minggu ini,” kata Datuk Rizal Mansor sebagai menjawab kenyataan Yeo semalam mempersoalkan sama ada PERMATA akan membatalkan jemputan kepadanya kerana mahu menyorok sesuatu.
“Akaun PERMATA diaudit setiap tahun oleh Pejabat Ketua Audit Negara dan beliau bebas merujuk laporan tahunan ini,” kata Rizal dalam kenyataanya, hari ini.
Bagaimanapun, kata Rizal, selepas tiga hari Yeo mesti mengadakan sidang media bagi menjelaskan berkenaan kontroversi terowong dasar laut di Pulau Pinang.
“YB Yeo mesti bersetuju untuk mengadakan sidang akhbar menjemput semua media dan sebagai balasan mesti bersetuju untuk menjelaskan secara terperinci mengenai kontroversi DAP bernilai berbilion ringgit itu.
“Kami meminta pegawai anda menghubungi setiausaha pejabat bagi memuktamadkan persediaan,” katanya.
Yeo terdahulu berkata, program pendidikan awal kanak-kanak seperti yang dijalankan oleh PERMATA adalah penting dan ia tidak boleh diketepikan semata-mata kerana Rosmah adalah penaungnya.
Bagaimanapun, beliau turut mengkritik PERMATA kerana tidak mempunyai hala tuju strategik yang jelas walaupun dibiayai kerajaan.
Namun Rizal membalas semula kenyataan Yeo supaya melihat keadaan DAP terlebih dahulu sebelum mempersoalkan akaun PERMATA.
Rizal turut mempersoalkan Yeo kerana tidak bersuara mengenai akauntabiliti kerajaan pimpinan DAP di Pulau Pinang.
Selain itu katanya, Enakmen Kebebasan Maklumat yang didakwa diamalkan DAP juga tertakluk kepada pemohon menandatangani deklarasi menjanjikan sebarang maklumat yang dilihatnya tidak didedahkan.
“Sekali lagi saya tekankan, DAP tidak ada monopoli menuntut ketelusan. Saya berhak menuntut YB Yeo menjelaskan secara terperinci berserta kan dokumen mengenai projek di Pulau Pinang memandangkan ia melibatkan berbilion ringgit dana negeri,” kata Rizal.

