‘Jangan ugut saya, pinjam DUN Pengkalan Rinting bukan perkauman’
Pengerusi BN Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed mengingatkan MCA supaya tidak mengugutnya berhubung cadangannya supaya kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Rinting dipinjamkan kepada Umno pada pilihan raya umum akan datang.
Katanya, pandangan dan cadangan itu dikemukakan bertujuan untuk merampas semula kerusi yang dikuasai oleh DAP itu dan bukannya isu perkauman kerana BN tidak berniat menukar tempat yang dipegang MCA.
"Jika BN (Umno) memenangi kerusi berkenaan pada pilihan raya akan datang, kita kembalikan pada MCA selepas itu. Tujuan utama 'pinjaman' ini hanya untuk menawan semula kerusi terbabit.
"Analisis fakta mendapati pengundi Cina di kawasan pilihan raya itu tidak menerima MCA sepenuhnya," katanya yang dipetik portal Berita Harian di Putrajaya, hari ini.
Kerusi DUN Pengkalan Rinting sebelum ini adalah kubu kuat BN dan dimenangi oleh Umno dalam sembilan pilihan raya secara berturut-turut sebelum tewas kepada pembangkang apabila diambil alih oleh MCA pada 2013.
"Jangan ugut saya atau menjadikan ini sebagai isu perkauman kerana saya tidak mengamalkan konsep perkauman," katanya.
Semalam, Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong, menyifatkan cadangan dan tuntutan Nur Jazlan sebagai kejutan dan tidak beradab.
Berdasarkan persempadanan semula Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), DUN Pengkalan Rinting akan dikenali sebagai DUN Perling, merangkumi 45.7 peratus pengundi Melayu, Cina (42 peratus) dan India (11 peratus) berbanding 42.9 peratus pengundi Melayu, Cina (44.5 peratus) serta India (11 peratus) sebelum ini.
Pada pilihan raya umum lalu 2013, Cheo Yee How memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti 1,970 undi, mengalahkan wakil MCA, Chang Mei Kee.

