Dua bom asap ditemui di PPR Air Panas Setapak
Polis Diraja Malaysia (PDRM) menemui dua butir bom asap yang dibungkus dalam plastik putih di kawasan luar tempat pembuangan sampah, di sebuah blok Program Perumahan Rakyat (PPR) Air Panas, Setapak di ibunegara petang semalam.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata dalam kejadian pada 3.30 petang itu, bom berkenaan ditemui oleh sepasukan anggota polis yang menjalankan Op Cegah Jenayah di kawasan berkenaan.
"Hasil pemeriksaan oleh Unit Pemusnah Bom (UPB) dan Forensik dari Ibu Pejabat Kontijen Kuala Lumpur (IPK KL) di lokasi kejadian mendapati dua butir bom berwarna hijau itu tertulis GRENADE HAND COLOURED SMOKE BLUE MK IV LOT 15 SME 6-09 CCC," katanya dalam satu kenyataan malam tadi.
Beliau berkata bom 'smoke grenade' itu turut sama digunakan oleh pasukan polis termasuk Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dan tidak menolak kemungkinan juga digunakan oleh pihak tentera.
Amar Singh berkata hasil siasatan lanjut, pihaknya turut menemui tujuh kesan cap jari pada kedua-dua bom asap berkenaan.
Menurutnya, bom asap itu dipercayai dikeluarkan sebuah syarikat penghasilan senjata di Batu Arang, Rawang dan ia adalah edisi Lot 15, 6-09 (Julai 2009).
"Semakan dengan pihak SME akan dilakukan bagi mengesahkan bom asap ini dikeluarkan bagi edaran kepada pihak polis, tentera atau lain-lain pihak," katanya.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan (ABL) 1957. Polis memberi amaran keras dan tidak teragak-agak mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang cuba menyalahgunakan bahan letupan untuk mengganggu-gugat ketenteraman awam, katanya.
- Bernama

