'Salah faham punca rampasan buku delegasi M'sia'
Insiden rampasan buku 'Manifesto Komunis' yang dibawa delegasi Malaysia ke Pesta Buku Antarabangsa Indonesia Sabtu lepas berpunca daripada salah faham dan tidak berniat memalukan negara.
Institut Terjemahan Buku Malaysia (ITBM), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Perbadanan Kota Buku selaku ketua agensi delegasi penyertaan negara dalam satu kenyataan bersama berkata salah faham berkenaan berpunca dari ilustrasi logo Komunis pada kulit buku tersebut.
"Ia sekali gus mengundang kehadiran pihak berkuasa Indonesia ke Pavilion Malaysia dan merampas empat naskhah buku tersebut pada hari keempat pesta buku berlangsung.
"Susulan rampasan, empat peserta delegasi hadir ke balai polis dan pejabat Imigresen bagi tujuan soal siasat dan kemudian dilepaskan tanpa ditahan selepas kandungan buku tersebut disahkan bebas daripada sebarang elemen yang mendorong kepada doktrin tersebut," menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, penyertaan buku tersebut diterima untuk pameran di Pavilion Malaysia berikutan tidak wujud sebarang halangan terhadap jualannya di Malaysia.
Selain itu, kandungannya juga disahkan sendiri pihak berkuasa Indonesia bahawa tidak bertentangan undang-undang mereka.
"Apa yang berlaku hanyalah ilustrasi logo yang asalnya dihasilkan atas tuntuan pemasaran, iaitu mengundang perhatian pembaca bagi rangsangan jual beli tanpa menyedari logo tersebut amat sensitif di Indonesia," kata kenyataan itu.
Jelas kenyataan itu, Ikatan Penerbit Indonesia (IKAPI) selaku penganjur juga tidak pernah memaklumkan perkara sensitif yang perlu diberi perhatian oleh peserta.
Kenyataan turut menyebut, ketiga-tiga agensi dibawa Kementerian Pendidikan Malaysia itu mengambil serius perkara ini termasuk membuat kajian serta-merta penyediaan operasi standard prosedur untuk tujuan penyertaan di mana-mana pesta buku antarabangsa akan datang.
Menurut kenyataan itu, ketiga-tiga agensi turut menafikan tuduhan pihak tidak bertanggungjawab kononnya insiden tersebut disengajakan.
"Ini merujuk kepada tuduhan berniat jahat yang kini viral di pelbagai media yang mengaitkan kami dengan serangan bermotifkan politik.
"Kononnya kami membuat pakatan sulit dengan pembangkang dan dengan sengaja membawa penerbit buku Indie bagi tujuan menyebar idea komunis serta sosialis di Indonesia," menurut kenyataan itu.
- Bernama

