Pengerusi Petugas Pemantau Jenayah Malaysia (MyWatch), Datuk R Sri Sanjeevan kekal bebas selepas polis menarik balik rayuan tahanannya mengikut Akta Pencegahan Jenayah (Poca) 1959 di Mahkamah Persekutuan hari ini.

Peguam Kanan Persekutuan, Muhammad Sinti yang mewakili pegawai penyiasat Asistan Superintandan EK Poonam dan ketua polis negara sebagai perayu, memaklumkan kepada mahkamah bahawa mereka tidak berniat untuk meneruskan rayuan itu.

"Berikutan itu, kami menarik balik rayuan ini," kata Muhammad.

Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria yang mengetuai panel lima hakim kemudiannya memutuskan bahawa rayuan itu ditolak.

Hakim-hakim Mahkamah Persekutuan yang bersidang sama adalah Tan Sri Ahmad Ma'arop, Tan Sri Ramly Ali, Datuk Balia Yusof Wahi dan Tan Sri Jeffrey Tan.

Sanjeevan, yang turut hadir di mahkamah, diwakili oleh sepasukan peguam yang diketuai Gobind Singh Deo.

Walau bagaimanapun, pengerusi MyWatch itu masih menghadapi beberapa tuduhan peras ugut di Kuala Lumpur, Seremban dan Temerloh.

Julai lalu, Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Mohamad Shariff Abu Samah membenarkan permohonan habeas corpus Sanjeevan, dan mengisytiharkan reman di bawah Poca sebagai batal dan tidak sah.

"Prosedur untuk menahan seseorang perlu diikuti untuk surat itu.

"Oleh kerana terdapat keraguan berhubung dengan perintah itu, yang membawa kepada beberapa tafsiran, mahkamah membenarkan permohonan(habeas corpus) dan memerintahkan Sanjeevan dibebaskan daripada pusat tahanan reman itu berkuatkuasa serta merta," kata Mohamad Sharif.

Gobind telah berhujah bahawa perintah tahanan tersebut, yang dibuat sebelum tahanan reman, adalah tidak sah kerana fakta-fakta yang terkandung dalam perintah itu adalah salah.

Beliau berkata, Seksyen 4 (1) (a) Poca menetapkan bahawa reman adalah untuk menahan seseorang sementara menunggu siasatan lanjut, sambil menambah bahawa ia bukan untuk tahanan di penjara.

[Baca berita penuh]