Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berpendapat PAS tidak seharusnya dipinggirkan begitu sahaja dan perlu ada usaha untuk berunding dengan parti Islam itu.

Rafizi bagaimanapun mencadangkan 'garis merah' yang dipersetujui ditetapkan dan sekiranya PAS melintasinya, mereka tidak seharusnya berpatah balik.

Menurut Rafizi, pimpinan Pakatan Harapan mesti berbincang dan memutuskan apa yang seharusnya terkandung dalam garis merah berkenaan.

"Semakin hampir dengan pilihan raya umum, saya pasti akan cadangkan dalam Pakatan Harapan, supaya kita tetapkan garis merah itu dan secara objektif mendekati PAS dan parti lain termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) untuk merumuskan satu persefahaman.

"Jika adalah jelas kita tidak boleh menetapkannya, maka kita perlu bergerak dan memilih strategi lain," katanya kepada Malaysiakini.

Mengulas kenyataan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim bahawa ada pemimpin PKR yang percaya mereka akan kehilangan kuasa tanpa PAS, Rafizi menyifatkannya sebagai spekulasi.

"Bukan rahsia bahawa dalam PKR terdapat pihak yang menentang dan berbeza pandangan mengenai hubungan dengan PAS.

"Hakikat terdapat pandangan yang bercanggah - memang diketahui umum - ia bukan sesuatu yang baru.

"Tetapi berhubung PKR tidak boleh hidup tanpa PAS, itu spekulasi," katanya.

[Baca berita penuh]