Penting satu lawan satu, respon Zuraida terhadap Zaid
Ahli Parlimen PKR Zuraida Kamaruddin berkata keadaan semasa negara adalah sebab mengapa terdapat keperluan menyingkirkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak daripada pucuk pimpinan negara.
Beliau berkata demikian sebagai respon kepada bekas ahli parlimen Datuk Zaid Ibrahim yang mengingatkan pengundi bahawa negara ini tidak akan menjadi lebih baik jika perdana menteri ditumbangkan dalam pilihan raya umum akan datang.
"Memandangkan keadaan semasa di Malaysia - pengundi masih tidak diberi kuasa di peringkat politik - kita perlu membawa beliau (Najib) turun terlebih dulu.
"Turunkan dia dan seluruh kerajaan Barisan Nasional," kata Zuraida kepada Malaysiakini.
Ahli parlimen Ampang itu juga menekankan kepentingan pertandingan satu lawan satu, sebagai respons kenyataan Zaid bahawa idea berkenaan kini digunakan oleh indivitu tertentu yang berminat mengintai jawatan perdana menteri.
"Kita perlu memikirkan kepentingan rakyat terlebih dulu (dan) mungkin bercakap tentang perkongsian kuasa sebaik saja kita menang," katanya.
"Untuk itu, kita perlu pertandingan satu lawan satu," tegas beliau.
Tanpa menyebut nama, Zaid berkata kini terdapat seorang lagi calon yang ingin mengintai jawatan perdana menteri dan berjanji membawa PAS ke meja rundingan bagi memastikan pertandingan satu lawan satu dengan BN.
Pemimpin ini, katanya, akan berperanan untuk merundingkan agihan kerusi kerana PAS menolak untuk berkomunikasi dengan DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH).

