Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merampas wang tunai dianggar lebih RM20 juta susulan penahanan dua lagi pegawai kanan agensi kerajaan di Kota Kinabalu, Sabah kerana disyaki menyalahgunakan kuasa dalam pemberian projek jabatan awam.

Semua empat individu terlibat akan dibawa ke mahkamah untuk mendapatkan perintah tahanan reman bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Timbalan Ketua Pesuruhajaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki berkata, wang tunai berjumlah RM3 juta yang dirampas sebelum ini hanya sebahagian daripada keseluruhan rampasan.

“RM3 juta sebahagian daripadanya. Sebenarnya lebih daripada itu. Saya fikir lebih RM20 juta,” katanya yang dipetik portal mStar Online.

Wang tunai mencecah RM10 juta ditemui di kediaman pegawai kanan yang ditahan SPRM di Sabah semalam.

Mengulas lanjut, Azam berkata, rampasan wang tunai jutaan ringgit itu melibatkan beberapa lokasi seperti di rumah, bank dan pejabat suspek.

“Setiap daripada sasaran yang kita tahan itu, setidak-tidaknya tiga lokasi. Termasuk peti besi, rumah, pejabat dan ada juga melibatkan peti besi di bank,” katanya.

Sementara itu, Sinar Online pula melaporkan SPRM menjumpai wang tunai dianggarkan hampir RM50 juta dalam sebuah rumah salah seorang pegawai kanan berkenaan dalam serbuan ke rumahnya semalam.

Memetik sumber, SPRM juga menemui wang tunai dalam jumlah yang besar dalam salah sebuah kenderaan milik suspek.

"Siasatan awal mendapati salah seorang suspek yang merupakan ketua kepada suspek kedua ini mempunyai bilik khas untuk menyimpan wang berkenaan.

"Dia tidak menyimpan dalam bank, sebaliknya menyimpan wang tunai di rumah. Terdapat juga sejumlah besar barang kemas dan jam tangan pelbagai jenama," beliau dipetik berkata.

Semalam Bernama melaporkan SPRM menahan dua pegawai kanan sebuah agensi kerajaan di Kota Kinabalu, Sabah kerana disyaki menyalahgunakan kuasa dalam pemberian projek jabatan.

Kedua-dua pegawai kanan berjawatan Pengarah dan Timbalan Pengarah di jabatan kerajaan itu mengendalikan projek-projek pembinaan infrastruktur asas bernilai lebih RM3.3 bilion sejak 2010.

Memetik sumber, mereka didakwa memonopoli semua projek untuk diserahkan kepada adik-beradik.

Sehingga kini mereka dipercayai mengumpul kekayaan melebihi RM50 juta hasil salahguna kuasa.