M'sia dijangka terjejas ekoran kelembapan ekonomi AS
Pertumbuhan ekonomi Amerika Syarikat (AS) yang perlahan dijangka menjejaskan Malaysia disebabkan hubungan perdagangannya dengan ekonomi terbesar dunia itu.
Ketua Pakar Ekonomi Bank Dunia Untuk Rantau Asia Timur dan Pasifik, Sudhir Shetty berkata, kesannya ke atas Malaysia adalah dari segi pengurangan eksport barangan pembuatan.
"Malaysia lebih bergantung ke atas AS berbanding negara lain di rantau ini. Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF) juga menjangka pertumbuhan AS akan reda buat sementara.
"Tetapi keseluruhannya, pertumbuhan AS secara relatifnya masih kukuh dan akan pulih pada 2017," katanya kepada pemberita melalui sidang video dari Washington DC, ketika mengulas semakan semula ramalan pertumbuhan IMF untuk AS sebanyak 1.6 peratus tahun ini berbanding ramalan awalnya 2.2 peratus.
IMF juga menjangka ekonomi maju akan berkembang 1.6 peratus, turun 0.2 peratus daripada ramalan pada Julai, manakala ekonomi sedang muncul dan membangun akan menyaksikan pertumbuhan meningkat 0.1 peratus hingga 4.2 peratus.
Berdasarkan perangkaan dikeluarkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, perdagangan global Malaysia pada separuh pertama 2016 tumbuh 1.3 peratus kepada RM704 bilion berbanding RM694.98 bilion dicatat dalam tempoh sama pada 2015.
Pertumbuhan itu disokong terutama oleh perdagangan dengan AS, ASEAN, China, Kesatuan Eropah, Bangladesh, Turki dan Mexico.
Perdagangan dengan AS dalam enam bulan pertama, berkembang 12.1 peratus kepada RM67.45 bilion berikutan permintaan lebih tinggi untuk barangan pembuatan Malaysia.
- Bernama

