Misi ke Gaza: DAP tuntut respon tegas kerajaan
DAP mendesak kerajaan memberi reaksi segera terhadap tindakan tentera Israel menahan kapal membawa misi kemanusiaan ke Gaza malam tadi.
Dalam kenyataan bersama dikeluarkan Pengarah Pendidikan Politik DAP Liew Chin Tong dan Penolong Setiausaha Publisiti DAP Johor Sheikh Omar Ali berkata kerajaan perlu memastikan semua tahanan dalam kapal itu dibebaskan.
"Kami mendesak agar respon yang tegas serta tindakan segera dapat diambil oleh kerajaan Malaysia serta dunia bagi memastikan semua tahanan dibebaskan atas nama kebebasan dan kemanusiaan," kata kenyataan dikeluarkan hari ini.
Malam tadi Zaytouna-Oliva yang dalam pelayaran misi Women's Boat To Gaza dilaporkan terputus hubungan sebelum penganjur mengesahkan ia berada bawah kawalan tentera Israel.
Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) memberitahu kapal membawa bekalan makanan dan ubat-ubatan itu ditahan kira-kira jam 9 malam tadi (3 petang waktu tempatan).
Seorang daripada anggota misi itu ialah warga Malaysia, Dr Fauziah Mohd Hassan.
Anggota lain yang menyertainya sebagai tanda solidariti bersama rakyat Palestin terdiri daripada wanita dari Tunisia, Algeria, Kanada, Turki, AS, Sweden, Ireland, Israel, New Zealand dan Australia.
Pelayaran kapal tu bermula pada 8 malam 14 September lalu dari pelabuhan Vell di Sepanyol sebelum berhenti di Ajaccio, Perancis.
Ia kemudian disambung pada 19 September bagi pelayaran peringkat kedua ke Messina, Itali.
Kata DAP rakyat Malaysia perlu menunjukkan sokongan sedaya upaya melalui pelbagai saluran yang ada sebagai tanda solidariti dengan misi kemanusiaan berkenaan.
"Kita juga perlu mendoakan keselamatan para aktivis kemanusiaan di atas kapal Zaytouna-Oliva itu," katanya.

